Kefahaman masyarakat mengenai etno sains perlu diperluas

Pertubuhan Kebajikan Etno Sains Alam Perubatan Melayu dan Komplementari Malaysia(Etno Sains) berperanan menyatukan pengamal etno-sains dan komplementari serta tamadun melayu supaya dapat bersatu agar dapat berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran demi menaikkan martabat warisan Melayu.
Pertubuhan Kebajikan Etno Sains Alam Perubatan Melayu dan Komplementari Malaysia(Etno Sains) berperanan menyatukan pengamal etno-sains dan komplementari serta tamadun melayu supaya dapat bersatu agar dapat berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran demi menaikkan martabat warisan Melayu.
A
A
A

KLANG - Bidang etno sains bukan sekadar merangkumi bidang perubatan malahan ia mengandungi pelbagai cabang antaranya seni bina, samudera atau perkapalan dan pelbagai cabang lain.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Etno Sains Alam Perubatan Melayu dan Komplementari Malaysia (Etno Sains), Profesor Dr Supyan Hussin berkata, kefahaman masyarakat mengenai etno sains yang menganggap ia sekadar perubatan perlu diperbetulkan.

"Etno sains yang bermaksud ilmu kearifan mempunyai pelbagai cabang dan aspek yang merujuk kepada kearifan tempatan merangkumi perubatan pemuliharaan kesihatan, pencegahan penyakit, perawatan-pengubatan penyakit, seni bina (rumah, bangunan, kapal), makanan, gastronomi, seni halus seperti tenun, jahit, khat, seni tampak, busana, aksesori, seni ukir, seni bela diri, seni suara dan muzik.

"Kurangnya kefahaman masyarakat mengenai etno sains ini yang menyangka bahawa ia hanya tertumpu kepada bidang perubatan perlu diperbetulkan dan peranan ini perlu dimainkan oleh semua pihak termasuk media untuk memberikan kefahaman yang sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Pertubuhan Kebajikan Etno Sains Alam Perubatan Melayu dan Komplementari Malaysia (Etno Sains) di Sementa di sini, semalam.

Katanya, skop etno sains dari sudut perubatan mempunyai tiga aspek iaitu pemuliharaan kesihatan, pencegahan penyakit dan perawatan iaitu pengubatan penyakit.

"Bagi pemuliharaan kesihatan ia berkait dengan sistem daya tahan badan iaitu makanan, riadah dan ibadah.

Artikel Berkaitan:

Presiden Pertubuhan Kebajikan Etno Sains Alam Perubatan Melayu dan Komplementari Malaysia(Etno Sains), Professor Dr Supyan Hussin.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Etno Sains Alam Perubatan Melayu dan Komplementari Malaysia(Etno Sains), Professor Dr Supyan Hussin.

"Pencegahan penyakit pula meliputi panduan, petua makanan, minuman dan amalan manakala perawatan iaitu pengubatan penyakit terdiri daripada pendekatan secara fizikal, spiritual, psikologi (emosi, mental), kaedah melalui sentuhan, makan, minum, gelombang, bacaan dan penggunaan alat serta bahan merangkumi flora (herba, tanaman, sayuran), fauna, air, galian (garam, emas, perak, tembaga, batu, tanah) dan mesin," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya mengalu-alukan semua perawat atau penggiat seni warisan Melayu untuk bersama Etno Sains dalam memartabatkan warisan Alam Melayu ini.

"Kami mengalu-alukan kepada semua, baik perawat perubatan Melayu atau penggiat seni Melayu dalam apa jua cabang untuk bersama memartabatkan warisan Melayu ini," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Etno Sains, katanya, pertubuhan tersebut berperanan menyatukan pengamal etno-sains dan komplementari serta tamadun Melayu supaya dapat bersatu agar dapat berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran demi menaikkan martabat warisan Melayu.

"Selain itu, kami turut menjalinkan kerjasama bersama universiti awam dan swasta dengan mengadakan kursus jangka masa pendek dan panjang sama ada peringkat sijil sehingga peringkat PHD.

"Dalam masa sama menjalinkan kerjasama yang baik dengan jabatan agama negeri dalam mengadakan kursus-kursus kerohanian serta membantu ahli dalam menjalankan penyelidikan dan kaji selidik berkaitan kaedah rawatan agar menepati syariat Islam," katanya.