Sabung ayam dilarang di Keningau

Gambar hiasan
A
A

KENINGAU - Polis memberi amaran kepada orang awam di daerah ini bahawa aktiviti menyabung ayam tidak dibenarkan sama sekali.

Ketua Polis Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata sesiapa yang didapati mengambil bahagian dalam pelagaan haiwan atau mencapai niat bersama iaitu hadir pada suatu pelagaan boleh dihukum di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.

“Hukuman adalah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya di sini, hari ini.

Shahrudin berkata Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 telah dikuatkuasakan pada 1 Julai 2017 yang sepatutnya telah menyedarkan masyarakat mengenai larangan aktiviti berkenaan.

Menurutnya statistik 2017 hingga hari ini menunjukkan terdapat 25 kes individu terlibat dalam kegiatan menyabung ayam direkodkan di daerah ini yang menunjukkan aktiviti itu masih aktif.

Katanya daripada jumlah itu 11 orang telah dituduh dan dirujuk di bawah Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.

"Bagi tahun 2018 empat tangkapan di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, dua daripadanya didapati terlibat dalam elemen judi," katanya.

Shahrudin berkata bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang dengan sengaja melibatkan diri dengan aktiviti haram itu.- Bernama