Kempen politik normal baharu

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Mohd Sharim Md Zain (kanan) ketika melawat dan beramah mesra dengan orang ramai di Pasar Tani Kekal Chini. -Foto Bernama
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Mohd Sharim Md Zain (kanan) ketika melawat dan beramah mesra dengan orang ramai di Pasar Tani Kekal Chini. -Foto Bernama
A
A
A

NORMAL baharu yang hadir dalam hidup kita juga mengubah cara kita berpolitik. Pendekatan kempen yang selalunya melibatkan jumlah yang ramai diganti dengan pendekatan berstrategik.

Pada awalnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan ceramah dan kempen rumah ke rumah dijalankan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini untuk mengekang penularan Covid-19.

Kebenaran akhirnya diberikan susulan beberapa kelonggaran diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Rentetan kes positif semakin berkurangan mendorong SPR membenarkan calon dan parti bertanding pada PRK Chini untuk mengadakan ceramah ketika berkempen.

Bagaimanapun, kapasiti ceramah perlu dihadkan kepada tidak lebih 250 orang pada satu-satu masa serta hanya di premis tertutup.

Selain itu, parti politik juga perlu mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) penggunaan sanitasi tangan, saringan suhu badan serta pengambilan rekod kehadiran peserta dan penganjur secara teratur.

Kalau sebelum ini, kaedah lawatan dari rumah ke rumah melibatkan ramai orang ibarat lawatan Cik Kiah, namun normal baharu kempen mengehadkan hanya tiga orang yang dibenarkan bagi aktiviti kempen rumah ke rumah dan walkabout, sama ada melibatkan calon atau penyokong parti pada satu masa serta tempat.

Malahan aktiviti bersentuhan atau bersalaman dengan bakal pengundi sama sekali tidak dibenarkan.

PRK DUN Chini mencipta sejarah dalam catatan pilihan raya dan politik tanah air apabila kempen dan ceramah secara terhad mengikut normal kempen politik baharu dilaksanakan. Namun itu tidak bererti ia akan merencatkan penyampaian mesej dan penyebaran maklumat terhadap pengundi.

Artikel Berkaitan:

Kajian menunjukkan bahawa 82 peratus pengundi mendapatkan maklumat politik semasa pilihan raya melalui media sosial, televisyen (74 peratus), akhbar (70 peratus), ceramah (65 peratus), lawatan dari rumah ke rumah (63 peratus) dan radio (60 peratus).

Kajian pilihan raya juga mendapati 75.5 peratus pengundi merujukWhatsApp, 68.3 peratus Facebook, 65 peratus Intagram, 63.5 peratus YouTube dan 59 peratus Twitter.

Pendekatan pemasaran politik (4P) melalui media sosial masih mampu menembusi khalayak atau pengundi. Pemasaran politik melibatkan produk, iaitu apa yang ditawarkan oleh parti politik dan calon. Promosi, iaitu bagaimana media digunakan untuk menyampaikan maklumat. Harga (price), melibatkan kos dalam menjayakan kempen dan tempat (place), iaitu di mana kempen ingin dilaksanakan. Pilihan

Parti dan calon PRK DUN Chini wajar memaksimumkan kaedah kempen dalam talian atau melalui saluran media sosial. Pendekatan kempen berstrategik perlu didukung dengan penggunaan media sosial. Ceramah dan kunjungan dari rumah ke rumah boleh dibuat secara langsung melalui Facebook dan mekanisme yang lain.

Maklumat calon, manifesto dan kempen perlu dibuat dalam Facebook, Instgram, Twitter dan YouTube. Apa yang lebih penting adalah mesej dalam kempen mestilah sesuai dan memenuhi kehendak serta keperluan pengundi.

Isu-isu dalam kempen seperti isu tempatan dan nasional mampu mempengaruhi pemilihan pengundi. Ceramah atau kempen hanya merupakan pendekatan dan alat bagi penyampaian maklumat, namun yang penting perisian dan maklumat yang ditawarkan berupaya mempengaruhi pemilihan dan membuat keputusan.

Kunjungan calon mendekati pengundi secara bersemuka mungkin meyakinkan seseorang pengundi untuk memilih. Namun, dengan kempen terhad, sejauh mana calon mampu bertemu bakal pengundi mereka? Begitu juga manifesto atau janji oleh parti politik atau calon boleh memikat hati pengundi kerana pengundi di Chini inginkan pembangunan dan pembaharuan.

Namun, kajian membuktikan bahawa kejayaan calon dan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya adalah gabungan penggemblengan strategi kempen menggunakan pendekatan pemasaran politik secara sistematik. Ceramah dan kempen melalui media sosial perlu selari dan disesuaikan mengikut tempat. Ini kerana tidak semua kawasan mempunyai liputan internet yang memuaskan dan membolehkan kempen secara online dilakukan.

*Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA