KAFA dijangka temui Reezal Merican minggu depan

Husin Deraman
Husin Deraman
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) dijangka mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican minggu depan bagi berbincang kemelut yang dihadapi badan induk bola sepak itu.

Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, KAFA baru-baru ini telah pun menghubungi pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini bagi memaklumkan mengenai pertemuan berkenaan.

Menurutnya, pertemuan berkenaan juga bertujuan untuk melihat apakah bentuk-bentuk bantuan yang boleh disalurkan oleh pihak KBS kepada KAFA bagi membantu menangani kemelut berkenaan.

“Kita sasarkan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan ini minggu depan. Antara perkara yang akan dibawa dan dibincangkan nanti adalah mengenai bentuk bantuan yang boleh diberikan oleh pihak KBS kepada KAFA.

“Sekiranya bantuan berkenaan disalurkan dalam bentuk pinjaman kewangan pun tak mengapa,” katanya kepada Sinar Harian.

KAFA kini berdepan masalah kewangan yang sangat meruncing, terutamanya melibatkan tunggakan gaji bekas pemain importnya selain pemain-pemain tempatan selain hutang lapuk yang dianggarkan berjumlah RM5 juta.

Tambah Husin, KAFA sebelum ini turut mengemukakan permohonan secara rasmi kepada kerajaan negeri Kelantan bagi mendapatkan bantuan kewangan bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji berkenaan.

Katanya, permohonan berkenaan dikemukakan oleh Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat dalam satu pertemuan pada 2 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini kita masih belum terima sebarang respon daripada kerajaan negeri berhubung perkara ini (bantuan kewangan), kecuali mengenai bayaran levi berjumlah RM100,000 yang perlu dilunaskan oleh KAFA setelah jumlah berkenaan dikurangkan daripada RM800,000 sebelum ini.

“Selain itu, kita juga masih belum hubungi untuk mengadakan perbincangan dengan bekas pemain seperti yang kita kata sebelum ini, sebab kita nak tengok keadaan kewangan kita dahulu. Nanti kalau tak cukup susah juga; kita tak boleh bayar kerana tarikh akhir untuk bayaran tunggakan gaji kepada bekas pemain tempatan adalah pada 30 Jun ini.

“Kita juga masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak penaja. Setakat ini masih belum ada hitam putih mengenai perbincangan yang dibuat,” katanya.