Rekrut Grealish sahaja tidak cukup

Aksi Grealish (tengah) mula menjadi perhatian beberapa kelab besar Inggeris.
Aksi Grealish (tengah) mula menjadi perhatian beberapa kelab besar Inggeris.
A
A
A

MANCHESTER United memerlukan lebih ramai lagi pemain selain merekrut Jack Grealish bagi mencabar jiran setempat Manchester City pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Legenda Manchester United, Ryan Giggs berkata, The Red Devils pada masa ini sememangnya memerlukan Grealish bagi memantapkan saingan kelab yang kini berada pada landasan betul di bawah Ole Gunnar Solskjaer.

“Begitu pun kualiti dan karakter yang ada pada Grealish sahaja tidak cukup sebaliknya pengurusan perlu menambah lagi beberapa pemain bagi memperkuatkan lagi setiap bahagian.

“Jadi kelab perlu mencari lebih ramai lagi pemain berkualiti untuk kembali bersaing dengan jiran setempat Manchester City,” kata bekas pemain antarabangsa Wales itu.

Pemain tengah kelahiran Birmingham itu menjadi perhatian dalam pasaran perpindahan beberapa musim kebelakangan ini, namun menyatakan kesetiaan bersama kelab yang diwakilinya sejak berusia enam tahun.

Pada ketika Aston Villa bergelut di zon penyingkiran desas-desus masa depan bintang muda berusia 24 tahun itu di pentas liga elit Inggeris kembali mencuri tumpuan.

Solskjaer yang giat memburu slot empat terbaik musim ini juga dikhabarkan berminat merekrut Grealish yang sudah menjaringkan tujuh gol pada saingan liga.

Pada ketika itu Manchester United memiliki penyudah tajam hasil gandingan Anthony Martial dan Marcus Rashford di samping khidmat Odion Ighalo yang dipinjamkan kepada kelab itu sehingga hujung Januari.

Artikel Berkaitan:

Jelas bekas pemain sayap Manchester United itu lagi, kem The Red Devils memerlukan sekurang-kurangnya empat pemain baharu bagi mencabar skuad kendalian Pep Guardiola berkenaan.

“Solskjaer perlu memperkuatkan jentera bahagian tengah The Red Devils dengan pemain yang serasi dengan gaya permainan sebenar kelab.

“Pemain yang mampu melakukan penyudah tajam setiap kali menyambut hantaran, lambungan bola dan boleh menjaringkan 25 gol,” katanya.