Uptown Bandar Perda kembali beroperasi malam ini

Seramai 138 peniaga dibenarkan untuk berniaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa. Foto: Sumber internet
Seramai 138 peniaga dibenarkan untuk berniaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa. Foto: Sumber internet
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Uptown Bandar Perda yang terkenal sebagai lokasi tumpuan membeli-belah dibenar menjalankan operasinya bermula jam 6 petang sehingga 11 malam setiap hari bermula hari ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, seramai 138 peniaga dibenarkan untuk berniaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

"Uptown Bandar Perda adalah uptown terbesar di daerah Seberang Perai. MBSP juga mahu tengok uptown ini dibuka seperti biasa...peniaga mahu berniaga namun ada penganjur yang tidak mahu berjumpa dengan MBSP.

“Terdapat 90 pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar hari, uptown atau foodtruck (trak makanan) dan bazaria di Seberang Perai. Penganjur diminta untuk datang berjumpa MBSP untuk mengemukakan cadangan pematuhan SOP supaya peniaga boleh berniaga," katanya kepada pemberita selepas penyerahan permit penganjuran kepada wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Ampat di tapak perniagaan itu di sini malam ini.

Rozali berkata, MBSP juga memberikan kelonggaran kepada peniaga untuk berniaga di luar lokasi yang termaktub dalam lesen bagi membantu mereka menjana pendapatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBSP akan menghubungi peniaga kecil dan penjaja yang tidak menuntut insentif tunai bernilai RM500 yang diberikan kerajaan negeri dalam dua fasa ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, hanya 63 peratus penjaja yang menuntut insentif berkenaan pada fasa pertama dan hanya 12.86 peratus penjaja memohon pada fasa kedua.

"Kita akan mula menelefon peniaga yang layak menerima insentif untuk datang ke kaunter (MBSP) dan kita akan beri secara tunai. Jika gagal, kita akan serahkan semula dana itu kepada kerajaan negeri pada akhir bulan Julai," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: