Banjir teruk selepas 14 tahun

Keadaan banjir di Kampung Parit Pulai, Parit Sulong, di sini, setelah hujan lebat yang bermula sekitar 5 pagi semalam. FOTO: BERNAMA
Keadaan banjir di Kampung Parit Pulai, Parit Sulong, di sini, setelah hujan lebat yang bermula sekitar 5 pagi semalam. FOTO: BERNAMA
A
A
A

BATU PAHAT - Bagi 43 keluarga di Kampung Parit Gantong dan Kampung Parit Pulai, Parit Sulong yang terjejas banjir sejak semalam, kejadian itu adalah satu pengalaman yang mencemaskan kerana kali terakhir bah melanda di situ ialah 14 tahun lalu.

Ketika air mula naik selepas enam jam hujan lebat tanpa henti bermula jam 5 pagi, rata-rata penduduk 'terperangkap' memandangkan mereka tidak bersedia dengan keadaan tersebut.

Rouzahana Maslan, 52, berkata, kali terakhir mereka mengalami situasi itu ialah pada tahun 2006 ketika banjir besar melanda Johor.

Menurut pengusaha bakeri itu, air naik dengan cepat menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan beberapa peralatan membuat roti serta kuih.

“Saya hanya mampu lihat kesemuanya ditenggelami air,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Parit Pulai di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nurul Alisya Abdul Malik, 20, berkata, dia tidak menyangka hujan lebat tersebut mengakibatkan kediaman bapanya di Kampung Parit Pulai ditenggelami air.

Menurut pelajar sebuah institusi pengajian tinggi itu, banjir melanda ketika dia sedang menduduki ujian dalam talian yang bermula pada jam 9 pagi.

“Saya tidak menyedari air banjir naik mendadak...ingatkan seperti selalu iaitu air akan memenuhi halaman rumah dan surut beberapa jam selepas itu.

Artikel Berkaitan:

“Namun sebaik selesai ujian, saya terkejut apabila mendapati bahagian dapur rumah telah dipenuhi air banjir. Ini kali kedua saya berdepan banjir. Kali pertama pada tahun 2006 ketika saya berusia 6 tahun,” katanya. - Bernama