Sila log masuk terlebih dahulu.

Elak gelombang kedua denggi

No Image Caption
A
A
A

DENGGI adalah antara ‘pembunuh’ senyap selain Covid-19 kerana denggi mampu mengancam nyawa tanpa disedari.

Cuaca panas dan lembap dengan hujan yang kerap seperti yang dialami sekarang dan dijangka berlarutan sehingga Oktober sangat sesuai untuk pembiakan nyamuk aedes. Ini kerana kekerapan kejadian hujan akan menyebabkan sebarang bekas takungan buatan manusia ditakungi air dan mampu menjadi habitat larva nyamuk.

Di Malaysia, sejak Januari hingga 13 Jun tahun ini, sebanyak 50,511 kes demam denggi dengan 88 kematian dilaporkan berbanding 56,819 kes dan 88 kematian dalam tempoh sama tahun lalu. Walaupun jumlah kumulatif kes bagi tempoh itu berkurang berbanding tahun lepas, namun sejak lapan minggu lalu, trend peningkatan dikesan dengan purata lapan peratus seminggu.

Berdasarkan trend tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan akan berlaku peningkatan kes demam denggi gelombang kedua bermula awal Jun sehingga September 2020. Sehingga 14 Jun, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 28,647 kes dan 498 lokaliti diikuti Kuala Lumpur dengan 5,035 kes dan Johor dengan 4,648 kes.

Rata-rata negara seluruh dunia menghadapi masalah penularan jangkitan demam denggi yang tidak terkawal dan ia telah menjadikan wabak itu sebagai penyumbang kepada beban penyakit global paling besar iaitu sebanyak 75 peratus. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebanyak 50 juta kes demam denggi berlaku setiap tahun di seluruh dunia.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyebabkan lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan dibuka secara berperingkat. Berkemungkinan kebanyakan tempat ini yang lama ditutup dan tiada pergerakan orang ramai berisiko untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Faktor lain yang menyumbang kepada kes denggi masih tinggi adalah pembuangan sampah tidak teratur. Oleh itu, bahan buangan domestik dan bahan binaan perlu diuruskan dengan sempurna supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Tahap kesedaran tentang bahaya dan pencegahan penyakit denggi masih kurang dalam kalangan masyarakat negara ini. Maka tidak menghairankan apabila operasi pemeriksaan rumah ke rumah dijalankan oleh pihak KKM mendapati banyak bekas takungan air di luar dan dalam rumah seperti tong, baldi dan kolah mandi yang menjadi tempat pembiakan jentik-jentik dijumpai.

Artikel Berkaitan:

Penduduk juga seolah-olah ‘kebal’ dan tidak ‘gerun’ terhadap tindakan yang akan dikenakan kerana keingkaran mereka. Perlu diingat, KKM boleh mengarahkan penduduk melakukan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan

Mengekang penularan demam denggi tidak hanya terletak di bahu pihak KKM kerana semua pihak perlu turut serta termasuk masyarakat. Usaha membanteras nyamuk aedes dan demam denggi adalah tanggungjawab kita semua, sepertimana masyarakat berganding bahu bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19.

Dalam tempoh PKPP, masyarakat disaran untuk terus melakukan aktiviti pencegahan denggi seperti bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran kediaman. Setiap individu pula perlu menggunakan perlindungan diri dengan memakai repelen dan pakaian yang menutup anggota badan daripada gigitan nyamuk. Sekiranya mengalami gejala demam denggi, segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia