ATM kenal pasti 49 lorong tikus baharu di Sarawak

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang (tengah) ketika melawat Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Biawak di Lundu, hari ini. -- fotoBERNAMA
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang (tengah) ketika melawat Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Biawak di Lundu, hari ini. -- fotoBERNAMA
A
A
A

LUNDU- Sejumlah 49 lorong tikus baharu yang menjadi laluan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenal pasti di Sarawak.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pekan Biawak adalah antara kawasan di negeri itu yang mempunyai banyak lorong-lorong ‘panas’ yang perlu dikawal ketat bagi mengekang kemasukan PATI serta aktiviti jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Op Benteng melibatkan kerjasama bersepadu antara semua agensi penguatkuasaan dan keselamatan dalam memutuskan rangkaian kemasukan PATI sama ada di darat atau perairan.

“Op ini akan diteruskan lagi agar lorong-lorong tikus dapat ditutup dan dipantau ketat. Kawalan juga dipertingkatkan di lokasi-lokasi tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke salah satu Pos Gabungan Bersama ATM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Kem Jawatankuasa Perancangan Gerakan (JPG) Biawak dan penyampaian bungkusan Aidilfitri dan Gawai di sini, hari ini.

Affendi berkata, ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain akan terus komited melaksanakan Op Benteng melalui koordinasi bersepadu bagi memastikan persempadanan negara, baik darat mahupun perairan tidak dicerobohi.

Op Benteng diaktifkan sejak Mei lepas di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sejak NTF diaktifkan di Sarawak, seramai 962 orang PATI dan 160 orang tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan Malaysia secara haram, manakala 33 individu ditahan kerana disyaki melakukan penyeludupan barangan yang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1.57 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: