Kerajaan perinci SOP buka sempadan Malaysia-Singapura

Tambak Johor menjadi penghubung utama antara Malaysia-Singapura namun ditutup selepas wabak Covid-19 melanda dunia.
Tambak Johor menjadi penghubung utama antara Malaysia-Singapura namun ditutup selepas wabak Covid-19 melanda dunia.
A
A
A

KULAI - Malaysia sedang memperincikan kaedah, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara tersebut akan dimuktamadkan sebelum diumumkan pada masa yang sesuai selepas mendapat persetujuan kedua-dua negara.

Jelasnya, perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein merupakan penyelaras bagi pihak kerajaan Malaysia.

"Perkara ini akan dibentangkan kepada jemaah menteri tetapi ada hal-hal yang belum muktamad lagi seperti yang disebutkan tadi. Apa yang penting (perkembangan isu ini) bergerak kerana sudah tutup (sempadan Malaysia-Singapura) untuk tempoh yang lama," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke tapak Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kerja raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Semalam Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi memenuhi keperluan rakyatnya merentas sempadan dalam keadaan koronavirus (Covid-19) ketika ini.

Menurut kenyataan tersebut, Singapura dan Malaysia perlukan masa untuk meneliti perkara tersebut terutama membabitkan langkah kesihatan serta keselamatan melibatkan rakyat kedua-dua negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, pembukaan sempadan akan memberi banyak manfaat kepada negeri ini terutama sektor pelancongan.

Artikel Berkaitan:

"Sektor pelancongan adalah penting bagi Johor yang mungkin tidak penting bagi negeri lain. Ini sama seperti juga Pulau Pinang, Melaka dan Langkawi. Perkara ini turut disokong Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad," katanya.

Sementara itu, beliau yang bertemu Hasni berkata, permohonan peruntukan kerajaan negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan dipertimbangkan dan dibincangkan semula kerana landskap ekonomi yang berubah pasca Covid-19.

Beliau berkata, penambahbaikan akan dilakukan selaras dengan perkembangan ekonomi yang kini lebih berasaskan digital dan teknologi.