DBKL larang pelarian masuk Pasar Borong Kuala Lumpur

DBKL melarang semua pelarian dari negara asing termasuk pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) daripada memasuki Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.
DBKL melarang semua pelarian dari negara asing termasuk pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) daripada memasuki Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melarang semua pelarian dari negara asing termasuk pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) daripada memasuki Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.

Menurut laporan MalayMail semalam, notis berkaitan larangan memasuki pasar berkenaan dikeluarkan di bawah arahan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan bertarikh 19 Jun lalu.

Notis itu memaklumkan hanya pekerja asing yang memiliki permit sah dan ditemani oleh warganegara Malaysia sahaja dibenarkan masuk ke dalam pasar terbesar di Malaysia itu selain menjadi transit kepada sebahagian besar makanan segar di Lembah Klang.

“Dimaklumkan bahawa semua individu yang ingin berurusan dalam Pasar Borong Kuala Lumpur akan diperiksa dan perlu mendaftar sebelum dibenarkan masuk.

"Bagi pekerja pasar dan pemegang lesen, mereka hanya akan dibenarkan masuk dengan pas yang sah," kata notis itu.

Menerusi notis itu, pelanggan warga asing hanya dibenarkan memasuki pasar berkenaan jika mempunyai permit sah dan turut ditemani rakyat tempatan selain semua pemegang kad UNCHR dilarang masuk sama sekali.

Bagaimanapun, notis itu tidak menyatakan sebab mengapa semua pelarian diharamkan masuk ke pasar itu.

Sementara itu, memetik laporan portal berita MalaysiaKini, seorang kakitangan DBKL mengesahkan kesahihan notis itu dan dikeluarkan oleh jabatan pelesenannya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, pihak berkuasa menyerbu pasar itu dan kawasan sekitarnya yang membawa kepada penahanan ratusan warga asing tanpa dokumen yang sah termasuk pelarian Rohingya yang dianggarkan 90 peratus daripada pekerja pasar berkenaan.

Pasar Borong Kuala Lumpur ditutup sementara pada April susulan kerja-kerja nyah kuman dan ujian saringan kesihatan koronavirus (Covid-19) terhadap pekerja-pekerja di kawasan itu.

Pada awalnya kerajaan tidak meletakkan pasar borong itu di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) namun ia perlu ditutup pada 20 dan 21 April lalu sebelum ia dilanjutkan selama dua hari lagi sehingga 23 April.

Bagaimanapun, kawasan sekitar pasar tersebut diletakkan di bawah PKPD setelah kerajaan mengenal pasti kluster Covid-19 di pasar borong terbabit apabila seramai 28 orang daripadanya dijangkiti selain seorang lelaki Myanmar berumur 36 tahun meninggal dunia akibat wabak itu.