Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement tidak pernah dibubar

Shamsuri bercakap pada sidang akhbar di Kampong Bharu hari ini membidas keputusan dibuat KWP berhubung status fungsi Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement.
Shamsuri bercakap pada sidang akhbar di Kampong Bharu hari ini membidas keputusan dibuat KWP berhubung status fungsi Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) masih relevan dalam menjalankan fungsi-fungsi pentadbiran tanah serta perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampong Bharu kerana MAS tidak pernah dibubarkan.

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu Kampong Bharu (MAS), Shamsuri Suradi berkata, keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bahawa Lembaga Pentadbiran MAS kini tidak lagi mempunyai fungsi itu adalah tidak berasas dan terbatal.

"Menurut Perlembagaan Persekutuan dan juga tanpa sebarang rujukan kepada Parlimen, perkara (status fungsi Lembaga Pentadbiran MAS) itu adalah tidak berasas dan terbatal.

"Pada 2011, KWP bersetuju mengeluarkan bahagian VIII berjudul 57(1) dan 57(2) dalam draf Rang Undang-undang Pembangunan Kampong Bharu yang bermaksud Lembaga Pentadbiran MAS tidak dibubarkan kerana kewujudannya tidak bercanggah dengan fungsi PKB (Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu) malah membantu mengukuhkan peranan perbadanan itu.

"Tidak ada sebarang peruntukan undang-undang yang terdapat dalam Akta Pembangunan Kampong Bharu 2011 dan juga Akta Ibu Kota 1960 yang memberikan kuasa kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membubarkan dan membatalkan kuasa yang terletak bawah MAS," katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

PKB pada 6 Jun lalu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa fungsi MAS tidak lagi relevan dan segala perkara berkaitan perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampong Bharu kini di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Keputusan itu mengambil kira pandangan pihak Jabatan Peguam Negara setelah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menyerahkan sebarang urusan berhubung status Lembaga Pentadbiran MAS kepada KWP untuk diselesaikan mengikut undang-undang semasa yang berkuat kuasa.

Mengulas lanjut, Shamsuri mendakwa keputusan yang dibuat mengenai status Lembaga Pentadbiran MAS itu tidak melalui proses yang sepatutnya.

Justeru katanya, Lembaga Pentadbiran MAS masih relevan untuk terus berfungsi sebagai 'payung' kepada penduduk Kampong Bharu dan bekerjasama dengan KWP melalui PKB mahupun DBKL.
Artikel Berkaitan:


"Kita bukan mahu mencari pergeseran. Kita buka ruang untuk berbincang. Pada saya PKB dan Lembaga Pentadbiran MAS perlu bersama-sama mengikut kepakaran masing-masing.

"Isu pemilikan tanah, ada yang masih belum selesai. Ada 32 lot lagi yang tiada geran, jadi beri kami selesaikan. Lembaga Pentadbiran MAS sebagai penapis dalam usaha memastikan pejabat tanah serahkan geran tanah kepada orang yang betul," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan rancangan pembangunan semula Kampong Bharu beliau berkata, selepas pertukaran kerajaan pihaknya tidak pasti mengenai perancangan yang dibuat PKB untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Pada saya untuk bangunkan Kampong Bharu, kita mesti tahu apa yang pemilik tanah mahu, apa yang nak dimajukan di Kampong Bharu ini. Kalau nak dibangunkan mesti ada pulangan untuk masa akan datang.

"Pembangunan pada pandangan saya harus dilakukan secara berperingkat dengan syarikat-syarikat yang berminat," katanya.