PRK Chini: Harap tiada fitnah, berita palsu dalam media sosial

Saifuddin (kanan) melihat produk digital transformasi yang dihasilkan ketika melawat Pusat Internet Semambu hari ini. - Foto Bernama
Saifuddin (kanan) melihat produk digital transformasi yang dihasilkan ketika melawat Pusat Internet Semambu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berharap tiada penularan berita palsu atau fitnah berlaku dalam media sosial sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Beliau berkata, media sosial dijangka menjadi antara medium utama berkempen memandangkan PRK itu berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyebabkan kempen yang melibatkan kehadiran dalam jumlah besar tidak dibenarkan.

"Kita harap tidak berlaku penularan fitnah atau berita palsu dan yang paling penting tolong jangan kongsi perkara tidak benar... untuk pastikan kesahihan berita cukup mudah kerana hanya perlu klik portal sebenarnya.my.

"Jika berlaku penularan berita palsu atau fitnah, kita boleh mengambil tindakan jika menerima laporan sama ada oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau pihak polis," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Internet Semambu di sini, hari ini.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK diadakan pada 4 Julai ini.

PRK Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan aktivis masyarakat Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang juga penulis blog.

Pada perkembangan lain, Saifuddin berkata, beliau menghormati dan percaya Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun mempunyai sebab yang munasabah apabila membuat permohonan secara ex-parte untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd dan Ketua Editor portal berita, Malaysiakini.

"Saya anggap itu adalah keputusan AG dan dalam sistem demokrasi berparlimen, kita ada pembahagian kuasa. Sebagai ahli Kabinet, saya menghormati tindakan dibuat AG dan kita serah kepada mahkamah untuk mengadili dan membuat keputusan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu lepas, media melaporkan Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan AG terhadap Malaysiakini yang didakwa membenarkan komentar yang mengandungi kenyataan menyinggung perasaan disiarkan pada ruangan komen artikel bertajuk 'CJ orders all courts to be fully operational from July 1' pada 9 Jun lalu.

Saifuddin juga menegaskan beliau tetap mempertahan dan menegakkan soal kebebasan akhbar namun ia perlu berlaku mengikut undang-undang, malah beliau sendiri selaku menteri juga boleh dikenakan tindakan jika melanggar garis merah.

Selain itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota memaklumkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom dan SMK Sungai Baging di sini akan memulakan projek rintis smart school yang dibiayai firma pengeluar telefon pintar, Huawei selain turut melibatkan syarikat telekomunikasi, Digi Telecommunication Sdn Bhd, Telekom Malaysia dan SKMM.

"Dua fokus utama ialah e-learning untuk pelajar selain e-dagang yang bertujuan membantu masyarakat tempatan dari segi perniagaan secara online dan walaupun dibuat di Indera Mahkota, saya yakin ia boleh dikembangkan ke kawasan lain dengan mengoptimumkan penggunaan 1,100 pusat internet di seluruh negara," katanya. - Bernama