PN sudah miliki calon PM, kata Mahdzir

Mahdzir menunjukkan maklumat Bantuan Prihatin Elektrik di Pejabat UMNO bahagian Padang Terap di sini hari ini.
Mahdzir menunjukkan maklumat Bantuan Prihatin Elektrik di Pejabat UMNO bahagian Padang Terap di sini hari ini.
A
A
A

KUALA NERANG - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mempunyai nama individu yang akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, hanya satu nama sahaja yang dicalonkan dan gabungan berkenaan tidak mempunyai senarai calon lain.

Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak berhasrat mendedahkan nama berkenaan ketika ini sebaliknya ia akan diumumkan apabila tiba waktunya nanti.

"Saya ingat semua sudah tahu siapa yang jadi calon Perdana Menteri bagi PN. Sebelah sana, (pembangkang) sahaja yang kelam kabut.

"Sebahagian nak Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) jadi Perdana Menteri, sebahagian lagi nak Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya ketika sidang akhbar Bantuan Prihatin Elektrik di Pejabat UMNO Padang Terap di sini semalam.

Terdahulu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut menyokong kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar diadakan PRU15 dalam masa terdekat.

Mahdzir berkata,melihatkan bilangan kerusi PN yang tidak begitu kukuh ketika ini mendorong pilihan raya diadakan supaya rakyat boleh membuat keputusan setelah mandat dikembalikan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat PN ada peluang besar untuk menang dalam PRU15 memandangkan gabungan itu mempunyai solidariti kesatuan dan kerjasama yang kukuh," katanya.