Ahli Parlimen Sik dilantik Pengerusi MADA

Ahmad Tarmizi
Ahmad Tarmizi
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkuat kuasa 16 Mei lepas bagi memantapkan lagi pengeluaran padi negara.

Ahmad Tarmizi berkata, beliau berterima kasih atas pelantikan itu dan berazam untuk meletakkan MADA sebagai sebuah agensi ke hadapan ataupun barisan hadapan kepada rakyat.

"Saya berterima kepada kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan khususnya menteri yang telah memilih dan memberi sokongan untuk saya mengetuai MADA.

"Saya telah mendengar taklimat penting daripada pengurusan MADA, saya yakin MADA akan menjadi agensi ke hadapan dan barisan hadapan kepada rakyat untuk mengekalkan Jelapang Padi Kedah," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ke MADA di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti dan mencari jalan meningkatkan produktiviti MADA hingga boleh mencapai target 75 peratus pengeluaran padi negara sekaligus mampu mengurangkan eksport beras di masa hadapan.

Katanya, beliau juga akan memastikan MADA turun ke bawah bagi melihat sendiri masalah yang dialami pesawah dan apa-apa halangan yang boleh diatasi bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan kementerian sendiri.

Sebelum ini, jawatan Pengerusi MADA disandang bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika zaman Pakatan Harapan (PH) sebelum beliau meletakkan jawatan pada 17 Mei lepas.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Pejabat Pengurus Besar MADA, Ahmad Tarmizi yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang Universiti Malaya dilantik sebagai Pengerusi MADA berkuatkuasa mulai 16 Mei 2020 hingga 15 Mei 2022.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memiliki kelulusan Diploma in Syariah Law and Practice Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Diploma Pendidikan Islam dan Bahasa Arab Institut Perguruan Islam Darul Aman (IPDA).

Ahmad Tarmizi pernah menerima Anugerah Tokoh Negeri Kedah (Kemanusiaan) 2010 dan Anugerah Tokoh Belia Negeri Kedah (Kebajikan).

Beliau berpengalaman luas dalam pengurusan dan pernah dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Koordinator Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan turut berpengalaman dalam bidang pendidikan sebagai guru Pendidikan Islam dari tahun 2007 hingga 2013.