Kedah perkemas pemulihan pembangunan ekonomi

Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyambut hari keputeraan baginda pada hari ini.
Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyambut hari keputeraan baginda pada hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah sedang memperkemaskan aspek pemulihan pembangunan ekonomi, sosiobudaya dan kestabilan dalam pelbagai sektor ketika ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan terus menggembleng kudrat bagi memastikan hasrat Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan amanah rakyat dapat ditunaikan.

Menurutnya, kesejahteraan negeri ini akan diselaraskan berdasarkan slogan baharu kerajaan negeri, ‘Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua’.

MUHAMMAD SANUSI
MUHAMMAD SANUSI

“Ia adalah suatu hala tuju, iltizam kepimpinan negeri serta seluruh anggota jentera pentadbiran untuk mencapai matlamat dalam usaha membawa kesejahteraan buat rakyat.

"Ia akan sentiasa menjadi keutamaan dalam pentadbiran,” katanya sempena sembah tahniah sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-78 hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, penularan wabak Covid-19 yang melanda negara menyebabkan sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Kedah tidak dapat disambut seperti tahun-tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“Pelbagai majlis dan acara yang dirancang dari awal tahun tidak dapat dijalankan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Seluruh anggota perkhidmatan awam di Kedah dan rakyat sentiasa mendoakan Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah Maliha Tengku Ariff dikurniakan kesihatan berterusan serta hidayah untuk bertakhta di singgahsana sebagai lambang kebesaran negeri Kedah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim yakin pelbagai inisiatif bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035 ke arah mencapai negeri maju masih mampu dilaksanakan walaupun negara berdepan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, wabak itu telah memberi impak besar bukan sahaja terhadap pembangunan sosial dan kesihatan malah pembangunan ekonomi negeri turut terkesan.

AMMAR
AMMAR

“Namun saya bersyukur Kedah antara negeri terawal diisytiharkan zon hijau iaitu kawasan bebas kes positif Covid-19 dan tiada penambahan kes baharu sehingga hari ini. Ini membolehkan projek pembangunan fizikal berimpak tinggi yang dirancang diteruskan walaupun kita berdepan pengurangan hasil,” katanya.

Ammar berkata, kerajaan akan terus komited melaksanakan langkah perbelanjaan secara optimum bagi mengukuhkan semula kedudukan kewangan agar selari dengan agenda negeri.

“PKPP yang bermula 10 Jun lalu membolehkan perkhidmatan kerajaan beroperasi semula dengan mematuhi garis panduan dan norma kerja baharu.

"Pendekatan e-kerajaan atau e-perkhidmatan diperkasakan bagi memberi kelangsungan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya.