Tiada siasatan baharu berkaitan berita palsu Covid-19

 Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan bahawa tiada pertambahan kertas siasatan baharu berita palsu berkaitan koronavirus (Covid-19) yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lebih tiga minggu lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan positif itu turut menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat telah meningkat akan kepentingan tidak berkongsi berita palsu.

"Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada Pasukan Respon Pantas (PRP) di talian 03-89115103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita.

"Setakat 20 Jun 2020, jumlah layaran portal ini telah mencecah 137.6 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa capaian Laman Web Covid-19 adalah lebih kurang 60,000 pengguna dan kini ia berada di tempat pertama dalam enjin carian Google.

Katanya, setelah lebih sebulan beroperasi, capaian Laman Web Covid-19 merekodkan lebih kurang 60,000 pengguna.

"Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan terkini mengenai perkembangan Covid-19 di Malaysia, bolehlah melayari Laman Web Covid-19 iaitu http://covid-19.moh.gov.my/.

"Laman web ini telah mulai beroperasi (go live) pada 5 Mei 2020 dan hebahan mengenainya telah diuar-uarkan melalui Portal Rasmi KKM dan kemudiannya telah diperluaskan melalui media sosial KKM iaitu Facebook KKM, Telegram, Instagram dan Twitter.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat lanjut mengenai kejadian Covid-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram Kesihatan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM dan juga laman web Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM," katanya.