Import beras tidak terjejas ketika Covid-19

Ronald (tengah) menandatangani plak bersempena 50 tahun penubuhan MADA pada lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, di sini, hari ini.
Ronald (tengah) menandatangani plak bersempena 50 tahun penubuhan MADA pada lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Malaysia tidak berdepan masalah mengimport 30 peratus beras untuk keperluan negara walaupun dunia berdepan dengan penularan koronavirus (Covid-19).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, walaupun terdapat laporan ada negara tertentu enggan membenarkan beras mereka dieksport tetapi pengimport beras tunggal negara, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) tidak berdepan masalah untuk berbuat demikian.

"Apabila ada laporan mengatakan terdapat negara pengeluar tidak membenarkan beras dieksport akibat Covid-19, kita memang bimbang berhubung perkara itu kerana melibatkan keselamatan makanan negara.

"Bagaimanapun, Bernas tidak menghadapi masalah dan negara kita turut mengeluarkan 70 peratus beras untuk keperluan negara," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), di Ibu Pejabat Mada, Ampang Jajar di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama katanya, pihaknya mendapati pengeluaran beras negara berjalan lancar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga kini.

Ronald berkata, sektor pertanian juga tidak terjejas dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana bidang berkenaan dibenarkan beroperasi seperti biasa dan pengeluaran padi negara berjalan seperti biasa.

Dalam perkembangan sama, Ronald berkata, Mada menerima peruntukan RM150 juta dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 1 (PRE1) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRE Prihatin).

Menurutnya, setakat ini, sebanyak RM11.2 juta telah disalurkan kepada Mada melalui PRE1, manakala RM5.4 juta di bawah PRE Prihatin dalam usaha membuka semula ekonomi pasca wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Dalam PRE1, kerajaan akan memberi fokus kepada peningkatan pendapatan peladang dan penambah baikan infrastruktur pengairan dengan RM3.6 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan operasi tali air dan RM3.5 juta melibatkan program perataan tanah sawah melibatkan keluasan 2,302 hektar," katanya.

Dalam pada itu menteri itu juga memberitahu, daripada RM11.2 juta itu, sebanyak RM2.5 juta lagi disalurkan untuk program penyelenggaraan dan pembaikan empangan Mada, program peningkatan pendapatan peladang (RM1.2 juta) dan penyelenggaraan struktur utama saliran dan stesen telematri (RM0.4 juta).

"Di bawah PRE Prihatin, kerajaan turut menyalurkan RM200,000 untuk setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) membangunkan projek agro makanan jangka pendek," katanya.