Tiga premis dikompaun gagal patuhi SOP PKPP

Pemeriksaan di sebuau restoran di Bahau.
Pemeriksaan di sebuau restoran di Bahau.
A
A
A

JEMPOL - Sebanyak sembilan notis dan tiga kompaun dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Jempol dan Pejabat Kesihatan Daerah semalam atas pelbagai kesalahan termasuk gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ops Bersepadu Pematuhan SOP PKPP Covid-19 itu dilaksanakan di sekitar Bahau bagi memastikan semua pengusaha dan pemilik premis mematuhi SOP yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, sebanyak 12 premis telah diperiksa membabitkan kedai runcit, pusat hiburan, restoran dan kedai makan.

"Tiga kompaun dan tiga notis dikeluarkan penguat kuasa MPJL kepada pemilik premis yang gagal mematuhi SOP PKPP dan melanggar syarat lesen perniagaan.

"Enam notis dikeluarkan penguat kuasa PKD Jempol kepada enam premis kerana melanggar peraturan kawalan hasil tembakau kerana gagal mematuhi SOP PKPP," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hadir sama dalam operasi berkenaan ialah Yang Dipertua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin.

Operasi yang bermula pada jam 8 malam hingga 12 tengah malam itu disertai oleh 37 petugas dari

Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jempol, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Penerangan Jempol dan Rela.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, antara kesalahan yang dikesan ialah pemilik premis tidak menyediakan cecair pembasmi kuman, alat penyukat suhu, tiada garis penjarakan sosial serta tidak menyediakan buku rekod kehadiran pengunjung.

Katanya, masih ada pengusaha dan pemilik premis yang mengabaikan SOP dan perkara itu perlu ditegah.

Mohd Khairiel berkata, pengagihan risalah dan poster serta hebahan awam mengenai Covid-19 turut dijalankan petugas penerangan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan operasi bersepadu seperti ini dengan lebih kerap sepanjang tempoh PKPP bagi memastikan semua SOP dipatuhi.