Ditendang larang suami kahwin lagi

Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Zain Mat Dris)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Zain Mat Dris)
A
A
A

MARANG - Seorang suri rumah cedera di seluruh anggota badan selepas ditendang suami kerana enggan memberi kerjasama kepada lelaki itu yang ingin memohon perkahwinan kali kedua.

Ketika kejadian di rumah mereka kira-kira jam 8 malam kelmarin, mangsa yang berusia 29 ditendang seperti 'bola' dalam keadaan seluruh bahagian wajahnya ditutup dengan selimut oleh suaminya yang berusia 41 tahun.

Menurut sumber, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran mulut di antara pasangan berkenaan selepas mangsa berkeras tidak mahu membenarkan suaminya berkahwin lain.

Kata sumber, difahamkan sebelum itu, suspek ada memujuk wanita berkenaan menyerahkan salinan kad pengenalan dan tiga anak mereka untuk dibawa ke Pejabat Agama daerah Marang bagi urusan permohonan perkahwinan kali keduanya.

"Mangsa berkeras enggan menyerahkan dokumen yang diminta kerana tidak mengizinkan suspek berkahwin lagi.

"Bengang dengan tindakan wanita itu suspek naik angin lalu bertindak merampas telefon bimbit yang dipegang mangsa.

"Terkejut dengan tindakan keras suspek, mangsa terus menangis sebelum seluruh mukanya ditutup dengan selimut dan ditendang oleh lelaki itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber itu turut memberitahu, mangsa mendakwa kejadian seumpama ini kerap berlaku sebelum ini tetapi tidak membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri serta anaknya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, akibat tidak tahan didera mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut selain untuk dijadikan rujukan di Mahkamah Syariah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.