Pengusaha bas sekolah mungkin kenakan caj tambahan

Mohd Rofik
Mohd Rofik
A
A
A

SEREMBAN - Caj tambahan dua kali ganda mungkin akan dikenakan oleh sesetengah pengusaha bas sekolah bermula Rabu ini untuk membawa pelajar Tingkatan Lima dan Enam.

Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, keadaan ini kerana tidak berbaloi untuk pengusaha memulakan operasi sedangkan tidak ramai daripada pelajar tingkatan berkenaan yang menggunakan pengangkutan bas sekolah.

“Kebanyakan pelajar Tingkatan Lima dan Enam tidak menaiki bas sekolah, biasa tunggang motosikal, naik kereta atau ibu bapa hantar.

“Sebahagian besar yang naik bas sekolah terdiri daripada murid sekolah rendah manakala 20 peratus pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga.

"Jika kapasiti pelajar yang menaiki bas hanya tiga atau empat orang adalah tidak berbaloi untuk mereka mula operasi," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, jumlah caj tambahan dikenakan mengikut budi bicara antara pengusaha dan ibu bapa.

Menurutnya, dijangkakan hanya 3,000 daripada 15,000 pengusaha bas seluruh Malaysia akan mula beroperasi.

“Siapa nak berniaga rugi, kalau setakat sekolah menengah dibuka lebih kurang tiga atau empat orang saja, sedangkan kos operasi dan penyelenggara lagi tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ibu bapa desak juga minta bas sekolah operasi semula, pengusaha terpaksa kenakan caj tambahan," katanya.

Selain itu pihaknya menyifatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengusaha bas sekolah mula operasi adalah kurang jelas.

Mohd Rofik berkata, mereka dimaklumkan pengusaha perlu sanitasi bas mereka setiap hari tetapi tidak dinyatakan pula sama ada pemandu perlu menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) sebelum dibenarkan operasi.

Beliau berkata, ramai pengusaha bas kecewa berikutan tidak mendapat bantuan secara ‘one-off’ untuk membaikpulih kenderaan selepas tersadai hampir tiga bulan.

“Ada yang dah surrender (menyerah) dan buat keputusan tutup perniagaan kerana beranggapan sesi persekolahan yang tidak pasti bila sepenuhnya akan bermula.

"Ye lah...kali terakhir kenderaan mereka bergerak akhir Mac lalu dan sekarang sudah bulan Jun, pastinya banyak nak kena baiki contohnya tayar dah pancit, bateri kena tukar, brek sudah tidak berfungsi.

"Jadi mana mereka semua nak dapat duit untuk melakukan kos penyelenggaraan kenderaan ini,” katanya.