Penyeludup diserbu ketika leka memunggah

Lori mengandungi barangan seludup diparkir secara mengundur rapat di tebing Sungai Golok.
Lori mengandungi barangan seludup diparkir secara mengundur rapat di tebing Sungai Golok.
A
A
A

TUMPAT - Sekumpulan penyeludup yang sedang leka memunggah daging dan organ lembu sejuk beku bersama barangan kontraban menggunakan bot merentasi Sungai Golok di Pangkalan Haram Ajis, Nibong di sini diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 semalam.

Seorang pemandu lori dan kelindannya masing-masing berusia 34 dan 20 tahun turut ditahan dalam serbuan pada jam 3.30 petang itu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, organ lembu sejuk beku bersama barangan kontraban yang dirampas bernilai RM80,709.80 itu dirampas.

Katanya, sebelum itu, sepasukan anggota membuat rondaan rondaan bermotosikal di sekitar kawasan Jalan Kasban antara Pos Pisau Raut ke Pos Nibong melihat sebuah lori berwarna putih di Pangkalan Haram Ajis Nibong yang berada dalam keadaan mengundur di tebing Sungai Golok.

Daging dan organ lembu sejuk beku bersama barangan kontraban yang dirampas.
Daging dan organ lembu sejuk beku bersama barangan kontraban yang dirampas.

“Beberapa lelaki dilihat sedang memunggah barang dari lori ke dalam sebuah bot enjin galah yang berada di tebing Sungai Golok.

“Semasa pasukan polis menghampiri sambil memperkenalkan diri, beberapa lelaki yang berada di dalam bot bertindak melarikan diri ke negara jiran bersama-sama barangan yang sempat dimasukkan ke dalam bot tersebut.

“Dua lagi lelaki iaitu pemandu dan kelindan lori yang berada berhampiran lori itu berjaya ditangkap. Siasatan mendapati barangan berkenaan untuk pasaran Thailand," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua barangan yang dirampas dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk tindakan lanjut dan siasatan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan mengikut Seksyen 11 Akta Maqis 2011," katanya.