Program keusahawanan diperluas, bantu usahawan luar bandar

Abd Latiff (tiga, kanan) ketika meninjau projek penternakan lobster air tawar di Taman Sejahtera Rakyat (TSR) Sungai Toh Pawang.
Abd Latiff (tiga, kanan) ketika meninjau projek penternakan lobster air tawar di Taman Sejahtera Rakyat (TSR) Sungai Toh Pawang.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Program keusahawanan yang dilaksanakan di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan diperluaskan untuk membantu usahawan di luar bandar terutama dalam wilayah Keda.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, pihaknya komited memberi tumpuan kepada aktiviti pembangunan usahawan dan pertanian bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk di wilayah Keda susulan wabak Covid-19.

Menurutnya, Keda turut memfokuskan kepada aktiviti pertanian di kawasan seluas 979 hektar dalam usaha agensi itu menjadi penyumbang kepada industri pengeluaran makanan negara selain membantu meningkatkan pendapatan peserta terlibat.

“Antara projek pertanian dilaksanakan Keda ialah Projek Peningkatan Ekonomi Petani Kedah (PPEPK) melibatkan kawasan seluas 391 hektar, Projek Pemulihan dan Menaiktaraf Sawah dan Tanah Terbiar seluas 219 hektar, Projek Penanaman Semula Kelapa Sawit (269 hektar) serta Projek Ladang Sejahtera Agropolitan Sik (100 hektar),” katanya dalam kenyataan media sempena lawatan kerja ke Keda semalam.

Lawatan kerja itu bertujuan meninjau kemajuan dan menilai semula pembangunan di wilayah terbabit seiring dengan pakej prihatin rakyat diumumkan kerajaan untuk merangsang ekonomi rakyat.

Sebelum ini, beliau telah melawat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Abd Latiff yakin usaha memperkukuhkan agensi KPLB di seluruh negara secara komprehensif amat penting supaya terus relevan dan menjadi pejuang masyarakat luar bandar.

“Selain membangunkan semula ekonomi kumpulan sasar di wilayahnya, Keda turut memberi penekanan terhadap aspek pembangunan modal insan dan pengupayaan komuniti luar bandar, khususnya kepada golongan belia luar bandar menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh Kolej Keda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, terdapat lapan bidang kursus ditawarkan di Kolej Keda, iaitu Kursus Teknologi Pembuatan Pakaian Lelaki dan Wanita, Kursus Teknologi Penyediaan Makanan, Kursus Teknologi Jurukimpal Arka, Kursus Teknologi Elektrik, Kursus Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Kursus Teknologi Juruteknik Motosikal serta Kursus Teknologi Automotif.

Abd Latiff berkata, manakala program Pembangunan Hartanah dan Prasarana Keda memberi tumpuan kepada Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Pemajuan Kawasan (PPK), Projek Baik Pulih dan Bina Baru Rumah, Program Naik Taraf Prasarana Luar Bandar serta Program Jalan Perhubungan Desa.

Sempena lawatan itu, Abd Latiff turut meninjau Pusat Pengurusan Sisa Pepejal dan projek penternakan udang galah air tawar di Taman Sejahtera Rakyat (TSR) Sungai Toh Pawang Sungai Petani yang disifatkan berpotensi besar untuk menjana ekonomi komuniti di wilayah itu.

TSR Sungai Toh Pawang merupakan kampung pertama dipilih melaksanakan projek rintis pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar.