X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita PKR Selangor rombak jawatankuasa

Sangetha Jayakumar
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perwakilan Wanita Negeri (MPWN) Selangor memutuskan untuk membuat penstrukturan semula jawatankuasa baharu bagi mengukuhkan organisasi sayap dan gerak kerja Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas ini.

Difahamkan, keputusan itu dilakukan menerusi mesyuarat MPWN Selangor Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Wanita PKR Selangor, Sangetha Jayakumar berkata, pembentukan jawatankuasa itu mendapat sokongan 19 daripada 22 cabang di negeri ini.

"Jawatankuasa baharu ini dibentuk dengan mengambil kira pengalaman, kebolehan serta integriti bagi memastikan segala perancangan dan agenda dicapai.

"Matlamat ini diharap mampu memberi manfaat khususnya kepada anggota PKR Selangor dan golongan wanita secara keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Sementa umum keluar PKR<

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar PKR dan meletakkan semua jawatan dalam parti itu.

Beliau yang juga bekas Ketua Wanita PKR Selangor turut berkata, keputusan itu dibuat kerana sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu diterajui Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Mengulas lanjut, Sangeeta berkata, PKR selaku parti utama di Selangor akan terus memberi tumpuan mengangkat martabat wanita dalam semua aspek dan menjadi pemangkin kepada peranan dalam pentadbiran kerajaan.

"Jadi saya akan menggalas tanggungjawab memangku jawatan Ketua Wanita PKR Selangor dan Timbalan ialah Ketua Wanita Cabang PKR PJS, Ermeemariana Saadon.

"Jawatan Naib Ketua Wanita PKR Selangor akan dipegang oleh Salasiah Disa, Lam Yoke Saw dan V Lanuga," katanya.

Tambahnya, Ahli Dewan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Wanita PKR iaitu Rodziah Ismail, Rozana Zainal Abidin, Juwairiya Zulkifli, Elizabeth Wong Keat Ping, June Leow Hsiad Hui dan Maria Chin Abdullah juga telah bersetuju dilantik sebagai Ex-Officio MPWN.

"Pembentukan jawatankuasa ini diharap mampu melonjakkan semangat dan komitmen anggota Wanita PKR Selangor dalam meneruskan agenda reformasi, memperkuatkan parti dan pentadbiran kerajaan negeri seterusnya bersiap-sedia dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!