PICOMS peneraju kolej universiti online

Lawatan rasmi dan kunjung hormat Dr Wan Mohd Azizi (tengah) di beberapa penempatan pekerjaan pelajar di Jerman pada awal Mac lalu.
Lawatan rasmi dan kunjung hormat Dr Wan Mohd Azizi (tengah) di beberapa penempatan pekerjaan pelajar di Jerman pada awal Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada istilah rehat bagi Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula pada 18 Mac lalu susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Naib Canselor yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata, semua program pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sebelum ini diadakan secara bersemuka telah beralih kepada platform dalam talian hampir sepenuhnya.

“Sebagai institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), inisiatif ini adalah selari dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ketika itu.

“Walaupun pelajar kami berada di rumah, program pembelajaran tetap diteruskan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau turut menyifatkan PICOMS sebagai peneraju dan perintis dalam talian bagi memperkasakan PdP susulan penuntut universiti awam sedang bercuti dalam tempoh PKP bermula 18 hingga 31 Mac lalu.

Menurutnya, ketika Malaysia dilanda pandemik Covid-19, PICOMS meneruskan pengambilan pelajar bagi April-Mei 2020 dalam talian.

“Semasa peringkat awal Covid-19, PICOMS merancang program hari terbuka, pengambilan pelajar dan orientasi secara maya,” katanya.

Wan Mohd Azizi berkata, di bawah fasa normal baharu dalam PdP, pelajar PICOMS didedahkan kepada pelbagai sistem dan aplikasi dalam talian yang mudah diperoleh.

Artikel Berkaitan:

“Majoriti pelajar PICOMS tidak menghadapi masalah dari segi capaian internet di kediaman masing-masing semasa PKP dan mereka menggunakan kaedah dalam talian yang real time seperti Google Classroom dan Google Meet.

“Hikmah Covid-19 ini ialah mengetengahkan PICOMS secara tidak langsung kepada pasaran antarabangsa melalui maklumat yang dimuat naik secara digital,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik) PICOMS, Profesor Dr Mohd Nazil Salleh berkata, pengambilan pelajar universiti awam biasanya dilakukan Unit Pengambilan Universiti (UPU) pada September, manakala di IPTS dilaksanakan pada April, Jun dan Julai.

“Picoms adakan tiga kali setahun. Apabila tercetusnya wabak Covid-19, PICOMS yang berada di pertengahan semester sedang menghadapi peperiksaan akhir. Setiap program diubah hampir 100 peratus dalam talian.

“Sebelum pandemik Covid-19, hanya 20 peratus pengajian dilaksanakan secara dalam talian. Disebabkan Covid-19, hampir 100 peratus program dijalankan secara dalam talian,” katanya.