Mahalnya ‘timun cino’!

Kekurangan bekalan tembikai yang diterima daripada pembekal dipercayai menyebabkan harga buah itu meningkat dan dijual antara RM2.50 sehingga RM3 sekilogram sejak selepas sambutan Aidilfitri lalu.
Kekurangan bekalan tembikai yang diterima daripada pembekal dipercayai menyebabkan harga buah itu meningkat dan dijual antara RM2.50 sehingga RM3 sekilogram sejak selepas sambutan Aidilfitri lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Harga ‘timun cino’ atau tembikai bersaiz besar kebiasaannya dijual sekitar RM9 sebiji bergantung kepada beratnya namun kali ini mencecah sehingga RM24 sebiji.

Mana tidaknya apabila harga buah berjus kegemaran ramai itu kini meningkat antara RM2.50 sehingga RM2.90 bagi setiap sekilogram.

Tinjauan Sinar Harian di Kota Bharu dan Tumpat mendapati peningkatan harga dua kali ganda itu bermula selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.

Seorang jurujual tembikai di Kota Bharu, Shah Faqrul Hilmi Zulhasmi, 19, berkata, buah tersebut datang dalam harga yang sudah mahal diperoleh daripada pembekal menyebabkan penjual terpaksa menaikkan harga lebih tinggi untuk dijual kepada pelanggan.

Menurutnya, keadaan itu berikutan jumlah buah berkenaan kini tidak banyak di pasaran menyebabkan harga jualannya antara RM2.50 sehingga ada juga RM3 sekilogram.

“Apabila pembekal datang menghantar buah ini mereka memberitahu harga dijual kepada peniaga lebih mahal kerana jumlah buah yang kurang.

“Kami sebagai penjual tidak pilihan melainkan terpaksa menjual dengan harga lebih tinggi bagi mengelak kerugian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Shah Faqrul Hilmi berkata, keadaan itu terserah kepada pelanggan untuk membelinya atau tidak kerana sebagai penjual beliau juga memahami berhubung kenaikan itu.

Artikel Berkaitan:

“Ada pelanggan apabila tahu harga RM2.90 sekilogram ini mereka tidak jadi beli tetapi kami pun faham dan tidak memaksa. Kalau teringin nak makan tembikai, boleh beli untuk makan,” katanya.

Sementara itu, pemborong buah-buahan dari Tumpat, Shahmiazani Tanazi berkata, dia ketika ini tidak menjual tembikai buat sementara waktu kerana harga buah tersebut yang dirasakan membebankan pelanggan.

“Saya beralih menjual buah-buahan lain kerana harga tembikai daripada pekebun juga meningkat dari 30 sen sebelum ini kepada RM1.80 sekarang.

“Apabila sampai ke peniaga harga jadi mahal dan dijual kepada pelanggan pun mahal jadi, saya bimbang menjejaskan perniagaan apabila pembeli merungut kerana harga mahal,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penggemar tembikai, Mohd Firdaus Shamsudin berkata, dia gemarkan buah tembikai kerana dapat menghilangkan dahaga dan tetap membelinya walaupun ketika ini harga mahal.

“Ketika Ramadan lalu, setiap hari saya beli tembikai dengan harga RM1.50 sekilogram tetapi semalam saya beli tembikai di Pengkalan Chepa dengan harga RM17 bagi 5.9 kilogram atau sebiji tembikai kecil yang dijual dengan harga RM2.90 sekilogram.

“Mahal namun tetap beli sebab hendak makan dan hilangkan dahaga terutama ketika waktu berbuka puasa pada sunat enam hari bulan Syawal,” katanya.