10 pasukan Liga-M dapat lampu hijau

Ab Ghani
Ab Ghani
A
A
A

SEBANYAK 10 pasukan membabitkan enam daripada Liga Super dan empat Liga Premier telah mendapat ‘lampu hijau’ Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk kembali memulakan sesi latihan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kesemua pasukan terbabit telah menghantar dokumen wajib berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihaknya sebelum ini.

“Setakat hari ini (semalam), 13 pasukan telah menghantar dokumen wajib SOP kepada kita bagi tujuan memulakan latihan masing-masing. Namun, setelah disemak oleh pihak urusetia SOP Latihan Fasa 1 MFL, hanya 10 pasukan yang diberikan kelulusan untuk mula menjalani latihan.

“Kelulusan bagi tiga lagi pasukan terpaksa ditangguhkan kerana didapati dokumen SOP yang dihantar tidak lengkap. Bagaimanapun, ada pasukan yang telah menghantar semula permohonan berkenaan dan ia sedang disemak oleh pihak urusetia SOP MFL,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Terdahulu, MFL telah menetapkan empat perkara wajib kepada semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sebelum memberi kebenaran untuk memulakan latihan Fasa 1 yang bermula Isnin lalu.

Enam pasukan Liga Super telah mendapat kelulusan MFL untuk mengadakan latihan iaitu UiTM FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Terengganu FC (TFC), Perak dan Melaka United. Empat lagi membabitkan pasukan Liga Premier iaitu Negeri Sembilan, JDT II, TFC II dan Selangor 2.

“Sehingga kini, perkembangan permohonan daripada pasukan adalah positif dan beberapa pasukan telah mula membuat ujian calitan atau swab test kepada pemain dan pegawai masing-masing,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: