Musa Aman tuntut RM1 bilion daripada Shafie Apdal

Musa Aman
Musa Aman
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini mengeluarkan surat tuntutan kepada penggantinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, yang antara lain meminta mereka membayar RM1 bilion kepada badan amal pilihan beliau.

Peguamnya, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata, surat itu adalah sebagai respons kepada pendedahan mengenai writ saman yang difailkan terhadap Musa kepada media melalui sidang akhbar oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria semalam.

Beliau berkata, Musa menuntut Mohd Shafie, selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, dan Jamalul Kiram Mohd Zakaria serta peguam, Datuk Douglas Lind membayar wang itu kepada mana-mana badan amal pilihannya.

Selain itu, Musa menuntut surat permohonan maaf tanpa syarat kepadanya dan dihantar kepada peguam melalui faksimili serta e-mel selain menarik balik penyataan yang diragui (pendedahan mengenai pemfailan writ saman).

"Surat permohonan maaf dan penarikan balik penyataan tersebut haruslah diterbitkan di surat khabar, media sosial dan laman sesawang.

"Sidang akhbar harus diadakan sama seperti sidang akhbar yang berlangsung pada 19 Jun (semalam) dihadiri oleh para wartawan dari surat khabar dan media sosial yang mana surat permohonan maaf dan penarikan penyataan tersebut harus dibaca penuh kepada umum," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Tengku Fuad berkata semua pihak (dan/atau dengan wakil mereka) yang dinamakan dalam tuntutan itu diminta berhenti dan menahan diri daripada mengulangi penyataan yang diragui tersebut atau mana-mana ayat lain yang mempunyai maksud sama.

Beliau berkata, Musa meminta tuntutan itu dipenuhi dalam tempoh 24 jam selepas surat tersebut dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Pengarah Yayasan Sabah, Jamalul Kiram pada sidang media memberitahu bahawa Yayasan itu telah memfail tuntutan terhadap Musa bagi mendapatkan kembali RM872 juta milik yayasan itu yang didakwa hilang disebabkan perjanjian yang berkaitan dengan aktiviti pembalakan.

Bagaimanapun, Musa melalui peguamnya menafikan sebarang perbuatan salah semasa menjalankan tugas sebagai pengerusi Yayasan Sabah (2003-2008) dan mendakwa tuduhan yang dilemparkan ke atasnya adalah satu skandal dan palsu semata-mata.

“Tuduhan itu amat mencurigakan, tidak teratur dan ia sesuatu yang tidak wajar untuk mendapat tahu mengenai tuntutan Yayasan Sabah itu menerusi siaran akhbar dan media. Biasanya apabila memulakan sesuatu tuntutan, surat tuntutan itu perlu disampaikan kepada defendan atau peguamnya.

“Dalam kes ini, baik Tan Sri Musa mahupun saya sendiri tidak diberikan apa-apa surat yang berkaitan. Ini sesuatu yang pelik kerana pasti tidak sukar untuk mencari pejabat saya atau kediaman Tan Sri,” kata Tengku Fuad dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tengku Fuad berkata, penjelasan terhadap soal mengapa tuntutan ini hanya diketahui menerusi media, mungkin kerana ia tidak lebih daripada tindakan publisiti bermotifkan politik yang dirancang untuk mengalih perhatian dan memesongkan pendirian ramai.

“Apa-apa pun, saya telah diarah untuk menangani tuntutan yang dinyatakan itu, dan akan memberikan komen lanjut apabila tiba masanya nanti,” menurutnya dalam kenyataan itu. - Bernama