Terima kasih Kementerian Kesihatan

A
A
A

SEKALUNG tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kejayaan membawa keluar negara daripada detik getir dan mencabar berhadapan pandemik koronavirus (Covid-19).

Benar, kita belum mematikan rantaian Covid-19 sepenuhnya, namun tindakan segera kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu telah menyelamatkan Malaysia daripada mengulangi kesilapan negara-negara Barat dan jiran kita seperti Singapura serta Indonesia.

Kabinet baharu hanya mengangkat sumpah pada 10 Mac 2020 dan tanggungjawab menggunung menanti Datuk Seri Dr Adham Baba yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan Malaysia.

Ketika itu negara sedang diambang bahaya berikutan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 kesan himpunan tabligh yang berlangsung di Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Februari hingga 1 Mac 2020.

Walaupun kerajaan sebelum ini mendakwa himpunan itu berlaku semasa krisis politik, namun kegagalan mewujudkan prosedur yang jelas terhadap himpunan ramai dan kemasukan pengunjung antarabangsa sebelumnya merupakan punca utama penyebaran pandemik itu.

Sejak penghujung Januari telah wujud gesaan dan pandangan agar kerajaan menggantung visa pelancong China dan mengetatkan kawalan pintu sempadan.

Malangnya, tiada sebarang polisi dan prosedur menghalang atau mengawal himpunan besar-besaran yang membabitkan peserta luar negara.

Justeru, sama ada Himpunan Jemaah Tabligh berlangsung semasa krisis politik atau tidak, hasilnya tetap sama kerana tiada polisi yang tuntas diperkenalkan.

Artikel Berkaitan:

Pertama kali menjadi menteri, Dr Adham yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan daripada Universiti Malaya tampak agak gementar berhadapan media ketika dibebani krisis Covid-19.

Lalu terjadilah beberapa kenyataan yang tersalah cakap dan salah fakta yang tidak serius tetapi memalukan.

Saban hari kita hanya menonton taklimat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Namun, ramai tidak menyedari Dr Adham merupakan antara watak utama yang memastikan PKP berjaya dilaksanakan.

Semua PKP adalah di bawah Akta (342) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang merupakan bidang kuasa Menteri Kesihatan.

Walaupun pengisytiharan PKP diumumkan Perdana Menteri dan peraturan-peraturan dalam PKP dikeluarkan oleh Ismail Sabri, namun semua itu hanya boleh dilaksanakan dengan pewartaan dan kawal selia Dr Adham selaku Menteri Kesihatan.

Selain itu, Dr Adham akan turut diingati dengan tindakan drastik mewartakan 40 buah hospital sebagai fasiliti perawatan Covid-19. Pada masa yang sama, beliau telah mengarahkan dua dewan Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) ditukar kepada pusat kuarantin yang boleh memuatkan seramai 604 orang pesakit pada satu-satu masa.

Dr Adham juga bernasib baik mempunyai Ketua Pengarah Kesihatan yang berpengalaman seperti Dr Noor Hisham.

Beliau sentiasa tenang dan berkeyakinan menjawab soalan pemberita setiap petang selama hampir 100 hari sepanjang PKP.

Hari ini Malaysia sudah boleh menarik nafas lega kerana sudah dapat membuka semula sektor ekonomi.

Ketika Singapura masih bergelut dengan ratusan kes setiap hari, Malaysia sudah memasuki fasa pemulihan.

Segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan terutama KKM tidak akan berjaya tanpa kerjasama sebahagian besar rakyat yang begitu tekun dan bersungguh mematuhi arahan sepanjang PKP.

Terima kasih KKM, terima kasih semua petugas barisan hadapan sama ada sektor kesihatan mahupun keselamatan dan terima kasih buat semua rakyat Malaysia.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)