X

Kindly register in order to view this article
!

Laporan kajian pengurusan tanah sawah padi seluruh negara dijangka siap 2022

Ronald ketika melancarkan laporan teknikal pengurusan nutrien lokasi spesifik (SSNM) bagi kawasan padi Pulau Pinang di Sungai Acheh, Nibong Tebal hari ini.
A
A

NIBONG TEBAL - Jabatan Pertanian akan menyiapkan dokumentasi laporan teknikal pengurusan nutrien lokasi spesifik (SSNM) tanah sawah padi seluruh negara menjelang tahun 2022.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, program pengurusan tanah yang dijalankan sejak tahun 2016 itu mampu meningkatkan produktiviti hasil padi selain dapat menentukan penggunaan baja yang sesuai bagi setiap petak sawah sekali gus dapat mengelakkan pembaziran.

Menurutnya, pelaksanaan kajian pengurusan tanah itu melibatkan kawasan jelapang padi seluas 120,794 hektar seluruh negara dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM15.7 juta.

"Kajian ini penting bagi menentukan aplikasi baja, nutrien yang diperlukan di setiap petak sawah itu dapat diurus dan dibuat secara baik dan teratur tanpa pembaziran.

"Melalui kajian terperinci ini produktiviti jelapang padi negara boleh ditingkatkan dengan melaksanakan penambahbaikan pengurusan tanah dan pembajaan serta faktor pengurusan penanaman padi berdasarkan garis panduan ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di kawasan jelapang padi di sekitar Sungai Acheh di sini hari ini.

Terdahulu, Ronald turut melancarkan buku laporan SSNM bagi keseluruhan Pulau Pinang.

Ronald (tengah) menunjukkan buku laporan teknikal pengurusan nutrien lokasi spesifik (SSNM) untuk kawasan jelapang padi Pulau Pinang.
Ronald (tengah) menunjukkan buku laporan teknikal pengurusan nutrien lokasi spesifik (SSNM) untuk kawasan jelapang padi Pulau Pinang.

Ronald berkata, laporan itu menyediakan data terperinci ciri-ciri kimia dan fizikal tanah sebagai asas pengesyoran formulasi kadar baja bagi memenuhi keperluan nutrien penanaman padi.

Katanya, program itu akan memberi manfaat kepada seramai 5,312 petani dengan melibatkan keluasan 12,105 hektar sawan di Pulau Pinang.

"Pada masa kini pembekalan baja subsidi yang diberi menerusi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan dan Skim Insentif Pengeluaran Padi menggunakan kaedah pengesyoran setara tanpa mengambil kira keperluan baja serta status kesuburan tanah setempat.

"Ini boleh mengakibatkan berlaku situasi sama ada berlebihan baja yang membawa kepada pembaziran atau kekurangan baja yang akan mengakibatkan penurunan hasil padi," kata beliau.

Sementara itu dalam majlis sama, Ronald menyampaikan beberapa insentif kepada petani bagi membantu meningkatkan pengeluaran beras negara.

Insentif yang diberikan termasuk untuk program teknologi efektif mikro organisma 'plant booster Mr Energizer' menggunakan dron berjumlah RM24,200.

Selain itu, beliau turut menyampaikan insentif program kawalan rumpai dan padi angin berjumlah RM28,828 dan insentif kerja-kerja perataan dan parit lading serta program mengatasi masalah tanah jerlus berjumlah RM1.68 juta.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!