KPKT teliti cadangan tabung khas bantu keluarga anggota JPBM

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberi kata-kata semangat kepada keluarga Allahyarham Pegawai Bomba Baharudin Sapuan selepas Majlis Penyerahan Sumbangan di Dewan Kompleks Kuarters JBPM hari ini. - Foto Bernama
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberi kata-kata semangat kepada keluarga Allahyarham Pegawai Bomba Baharudin Sapuan selepas Majlis Penyerahan Sumbangan di Dewan Kompleks Kuarters JBPM hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti cadangan mewujudkan tabung bantuan pembiayaan bagi membantu keluarga kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) yang meninggal dunia ketika bertugas.

Menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin berkata, cadangan itu boleh dipertimbangkan sebagai usaha mengiktiraf dan menghargai sumbangan anggota petugas yang berkhidmat dengan agensi itu.

"Ia suatu idea yang boleh kita semak dan teliti mekanisme yang sesuai untuk membantu keluarga kepada anggota bomba yang maut dan sebagainya, ketika bertugas," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada balu anggota bomba Allahyarham Baharudin Sapuan, Zetay Akhtar Muhamad di Dewan Kompleks Kuaters JPBM Cheras, hari ini.

Allahyarham adalah anggota unit 'Rapid Intervention Motorcycle' (RIM) Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur yang maut selepas motosikal kuasa tinggi ditunggangnya terbabas ketika sesi latihan bersama pasukan di Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Alor Gajah, Melaka pada 7 Jun lepas.

Yang turut hadir pada majlis itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JPBM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, pihak sekolah boleh memohon bantuan JPBM untuk melaksanakan aktiviti sanitasi di sekolah susulan kebenaran pembukaan sekolah bagi pelajar kelas peperiksaan pada Rabu ini,

"KPKT dan JPBM harus membantu sekolah yang bakal dibuka ini dan pihak sekolah boleh memohon bantuan bomba. Kini beberapa sekolah telah meminta bantuan bomba untuk melaksanakan sanitasi," katanya.

Sesi persekolahan bagi 2,440 seluruh negara dibuka mulai 24 Jun, membabitkan pelajar kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara. - Bernama

Artikel Berkaitan: