Lima kematian akibat denggi di NS

S Veerapan
S Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Lima kematian dicatatkan bagi kes denggi di negeri ini sehingga tempoh 13 Jun.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, satu lagi kes kematian denggi dilaporkan berlaku di sekitar Seremban menjadikan kumulatif kematian denggi sebanyak lima kes berbanding enam kes pada tempoh yang sama bagi tahun lalu.

Katanya, bagi bilangan kes denggi yang didaftarkan pada minggu ke-24 (7 Jun hingga 13 Jun 2020) ialah sebanyak 77 kes.

"Kumulatif kes denggi yang didaftarkan di Negeri Sembilan sehingga minggu ke-24 sebanyak 1,358 kes berbanding 1,142 kes sehingga minggu yang sama tahun 2019.

"Ini menunjukkan terdapat peningkatan kes sebanyak 19 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2019," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, taburan kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan pada tahun ini sebanyak 1,139 kes di daerah Seremban, Port Dickson (52), Rembau (51), Tampin (41), Jempol (39), Kuala Pilah (19) dan 17 di daerah Jelebu.

Tambahnya, kumulatif lokaliti wabak yang masih aktif ialah sebanyak 27 lokaliti wabak, 26 lokaliti wabak di daerah Seremban manakala satu di daerah Jempol, sehingga tempoh 13 Jun lalu.

Katanya, aktiviti pencegahan dan kawalan akan diteruskan walaupun pada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan menjalankan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes di premis kediaman dan kawasan persekitaran, aktiviti larviciding, semburan pengasapan dan promosi kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat digalakkan melaksanakan pembersihan kawasan premis masing-masing 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat-tempat atau bekas yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi," katanya.