Lembu jantan naik perahu rentas Sungai Golok

Lembu yang diseludup dari Thailand ke Malaysia dirampas dari sekumpulan lelaki dalam serbuan oleh pasukan PGA Batalion 7 di Kampung Nibong, Tumpat hari ini.
Lembu yang diseludup dari Thailand ke Malaysia dirampas dari sekumpulan lelaki dalam serbuan oleh pasukan PGA Batalion 7 di Kampung Nibong, Tumpat hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Sekumpulan lelaki menyeludup tujuh ekor lembu jantan bernilai RM42,000 dari Thailand ke Malaysia dengan menaikkan haiwan itu ke atas perahu untuk menyeberangi Sungai Golok di Kampung Nibong di sini hari ini.

Pegawai Pemerintah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, aktiviti itu dikesan ketika intipan dilakukan di kawasan Pangkalan Haram Pok Soh/Stor Kertas, Nibong, pada jam 4.10 pagi.

"Beberapa lelaki menaikkan sekumpulan lembu ke atas perahu di Sungai Golok untuk diseludup masuk ke Kelantan dan ada beberapa orang lelaki menunggu ketibaan lembu-lembu tersebut untuk dibawa keluar dari kawasan tebing Sungai Golok.

"Setelah lembu-lembu tersebut sampai di tebing Sungai Golok sebelah Malaysia, kumpulan lelaki tersebut bertindak mengheret lembu-lembu itu sambil memerhatikan kawasan sekeliling untuk mengelakkan ditangkap pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tujuh ekor lembu yang diseludup dirampas polis dan diserahkan kepada Maqis.
Tujuh ekor lembu yang diseludup dirampas polis dan diserahkan kepada Maqis.

Menurutnya, pasukan polis mengekori mereka sehingga kawasan berdekatan bendang di Kampung Nibong, Tumpat.

“Setibanya di kawasan bendang itu, polis menyerbu mereka sambil memperkenalkan diri tetapi kesemuanya melarikan diri dengan meninggalkan lembu-lembu berkenaan di kawasan bendang.

“Polis cuba mengejar dan mencari kesemua lelaki itu namun mereka berjaya lolos di kawasan perkampungan berhampiran,” kata beliau.

Katanya, siasatan awal mendapati lembu-lembu itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran di Kelantan dan dirampas untuk dibawa ke Balai Kuala Jambu bagi tujuan siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Sekumpulan lelaki meninggalkan lembu-lembu itu di kawasan bendang di Kampung Nibong, Tumpat selepas pasukan PGA Batalion 7 memperkenalkan diri.
Sekumpulan lelaki meninggalkan lembu-lembu itu di kawasan bendang di Kampung Nibong, Tumpat selepas pasukan PGA Batalion 7 memperkenalkan diri.

“Jumlah keseluruhan rampasan adalah tujuh ekor lembu jantan yang dianggarkan bernilai RM42,000.

“Kesemua rampasan lembu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11 Akta Maqis 2011,” katanya.

Dalam pada itu, Azhari berkata, sepanjang tempoh penugasan Op Benteng koronavirus (Covid -19) selama lima hari mulai 16 Jun lalu pasukannya berjaya mencatatkan sebanyak 11 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM577, 793.

“Kes melibatkan rampasan haiwan ternakan, barangan kontraban, barangan kosmetik, barangan elektrik, pelbagai jenis pakaian termasuk dadah, ketum dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Berikutan pelancaran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pihak kami mengutamakan kawalan sempadan daripada kemasukan PATI bagi mengekang penularan Covid -19 selain sentiasa akan terus memastikan aktiviti penyeludupan dikawal sepenuhnya di sempadan bagi menjamin ekonomi negara,” katanya.

Lembu-lembu yang dianggarkan bernilai RM42,000 diseludup masuk dengan menaiki perahu menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke Malaysia untuk pasaran di Kelantan.
Lembu-lembu yang dianggarkan bernilai RM42,000 diseludup masuk dengan menaiki perahu menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke Malaysia untuk pasaran di Kelantan.