Terengganu pertimbang kelonggaran kepada penjaja jalanan

Antara penjaja di persimpangan lampu isyarat yang dilihat kembali berniaga di beberapa lokasi lampu isyarat di daerah ini sejak penguatkuasaan PKPP.
Antara penjaja di persimpangan lampu isyarat yang dilihat kembali berniaga di beberapa lokasi lampu isyarat di daerah ini sejak penguatkuasaan PKPP.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran sementara kepada penjaja jalanan termasuk di kawasan persimpangan lampu isyarat bagi menjana kembali ekonomi berikutan kekangan dialami mereka sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman berkata, kerajaan Terengganu prihatin dengan nasib menimpa semua peniaga termasuk penjaja yang tidak dapat meneruskan mata pencarian mereka sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya kelonggaran diberikan itu tidak bermaksud kerajaan membenarkan aktiviti itu dijalankan dengan tidak mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita memahami sepanjang tempoh (PKP) semua orang susah disebabkan pergerakan terbatas. Jadi, kita mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada rakyat dalam tempoh sebulan dua ini untuk menjana kembali pendapatan mereka. Kita juga berbincang dengan pihak penguat kuasa untuk tidak mengambil tindakan, memberi peluang kepada mereka berniaga.

“Bagaimanapun, mereka perlu mengikut saluran yang betul seperti tidak mengganggu lalu lintas atau menghalang sebarang laluan kenderaan serta menjaga prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, kebanyakan penjaja di persimpangan lampu isyarat kembali menjalankan aktiviti perniagaan di beberapa lokasi di daerah ini selepas kerajaan mengumumkan penguatkuasaan PKPP bagi memulihkan kembali sektor ekonomi negara.

Mohd Nurkhuzaini ketika diminta mengulas situasi itu berkata, setiap penjaja perlu mengikut peraturan ditetapkan ketika menjalankan operasi perniagaan.

“Undang-undang ada, sebab itulah mereka perlu mengikut peraturan ditetapkan. Jika tidak mengganggu lalu lintas biarlah mereka untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Artikel Berkaitan:

“Namun, jika melanggar peraturan seperti lalu lintas, PBT perlu arahkan mereka untuk berpindah ke tempat lain, bukan merampas barangan yang dijual,” katanya.

Mohd Nurkhuzaini sebelum ini menegaskan, menjaja di kawasan persimpangan lampu isyarat merupakan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Lalu Lintas 1959 serta Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan, Akta Kawalan Harga & Anti Percatutan 2011 serta Perintah Perlabelan Barang Sedia Bungkus 1993.

Katanya, kerajaan dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sedang mengenal pasti mekanisme terbaik untuk membantu penjaja jalanan selepas larangan menjaja di persimpangan lampu isyarat dikuatkuasakan sejak Disember tahun lalu.