SPR rabun, tak nampak: Annuar

Annuar tempelak SPR menerusi kenyataan di laman Twitter beliau.
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berterusan menempelak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kali ini beliau mendakwa SPR ‘rabun serius dan tak nampak’.

Menerusi ciapan di laman Twitter beliau, Ahli Parlimen Ketereh itu mengulas kenyataan SPR memandang serius pelanggaran peraturan pilihan raya dalam PRK Parlimen Cameron Highlands.

Menurutnya, banyak kesalahan sudah berlaku dan ‘kantoi’ namun Annuar mendakwa suruhanjaya tersebut ‘tidak nampak’ apa berlaku.

“SPR memandang serius pelanggaran peraturan pilihan raya di PRK CH (Cameron Highlands)...tapi dah berlambak yang salah dan kantoi, SPR rabun serius dan tak nampak.

“Maklumlah nama saja SURUHANJAYA....sebenarnya SATU ORANG sahaja yang buat decision (keputusan)...dan seorang itu dah diketahui berpihak kepada satu pihak sahaja,” tulis beliau.

Hari ini, SPR menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius laporan berhubung tindakan pihak bertanding pada PRK Parlimen Cameron Highlands yang didakwa melakukan pelanggaran undang-undang, peraturan dan etika semasa kempen berlangsung.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, antara laporan diterima pihaknya adalah membabitkan kesalahan seperti penggunaan aset kerajaan dan memainkan sensitiviti bangsa dan agama dalam kempen mereka.

Menurutnya, SPR telah mengadakan perbincangan segera bersama Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berhubung isu penggunaan kenderaan jabatan kerajaan semasa berkempen.

"Perbincangan tersebut diadakan bersama MCW selaku pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR bagi mengemukakan maklumat berhubung isu itu dan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.