48 individu ingkar PKPP ditahan

10 orang terlibat aktiviti refleksologi antara 48 individu ditahan kerana ingkar PKPP.
10 orang terlibat aktiviti refleksologi antara 48 individu ditahan kerana ingkar PKPP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan polis yang mengetuai Task Force Operasi Pematuhan menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 40 individu direman dan lapan lagi dikenakan kompaun.

"Kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti refleksologi atau urut (10 orang) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (38 orang)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kelmarin 67,004 pemeriksaan dilakukan pasukan itu bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan 10 warga asing atas kesalahan imigresen daripada 69 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan sebanyak 34,275 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: