Chelsea mahu Willian, Pedro kekal di Stamford Bridge

Willian (kiri) dan Pedro dilaporkan antara pemain bintang Chelsea yang bakal meninggalkan Stamford Bridge.
Willian (kiri) dan Pedro dilaporkan antara pemain bintang Chelsea yang bakal meninggalkan Stamford Bridge.
A
A
A

Pengendali Chelsea, Frank Lampard mengesahkan telah menemui Willian dan Pedro Rondriguez dalam usaha memastikan kedua-dua pemain berkenaan terus kekal bersama skuad The Blues sehingga penghujung musim ini.

Menurut Lampard, dia masih memerlukan khidmat Willian dan Pedro dalam misi Chelsea merebut kedudukan empat pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Justeru, Lampard dilihat tidak ragu-ragu untuk menyenaraikan kedua-dua pemain berkenaan dalam kesebelasan utama ketika aksi berdepan Aston Villa di Villa Park malam esok biarpun menyedari kontrak mereka tamat hanya sembilan hari selepas pertemuan itu nanti.

"Kami mahu mereka berdua melanjutkan khidmat sehingga penghujung musim ini. Saya melihat mereka daripada pelbagai aspek. Sebagai individu, mereka juga seperti saya yang ghairah memburu kejayaan.

"Saya menghormati mereka kerana telah memberikan khidmat terbaik kepada pasukan selama ini. Saya telah adakan perbincangan terbuka bersama mereka. Setakat ini, mereka gembira dan saya berharap mereka akan terus bersama pasukan," katanya.

Sebelum ini, timbul khabar angin yang mengatakan wujudnya perbincangan perpindahan secara percuma bagi kedua-dua pemain berkenaan.

Lampard turut menafikan bahawa Pedro menemuinya untuk memaklumkan bahawa dia tidak lagi dapat beraksi berikutan masalah kecederaan buku lali.

"Pedro masih ada. Dia hanya mendapat sedikit kecederaan di bahagian buku lalinya minggu lalu, tetapi dia kini sudah kembali cergas dan mahu kembali menjalani latihan.

Artikel Berkaitan:

"Dia juga memaklumkan akan mendapatkan ubat penahan sakit untuk menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan. Begitu juga dengan Willian. Saya memang tidak risau kerana dia sentiasa bermotivasi.

"Sebenarnya mereka adalah pemain profesional dan sentiasa memberikan khidmat terbaik kepada pasukan. Mereka juga telah berlatih sejak tiga minggu lalu," jelasnya.