Polis cekup 4 lelaki, rampas ganja

Polis merampas satu peralatan menghisap dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kopi, Persiaran Hamzah Alang, Klang, semalam. Gambar kecil: Nurulhuda
Polis merampas satu peralatan menghisap dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kopi, Persiaran Hamzah Alang, Klang, semalam. Gambar kecil: Nurulhuda
A
A
A

KLANG - Empat lelaki ditahan dengan rampasan ganja serta peralatan menghisap dadah di sebuah rumah di Jalan Kopi, Persiaran Hamzah Alang, di sini dalam operasi Ops Tapis, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, operasi sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara itu dijalankan kira-kira jam 1 pagi hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, ketika polis sampai di lokasi, empat lelaki sedang duduk bersembang di tepi rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik berisi satu ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 1.50 gram serta satu peralatan menghisap dadah.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 43 tahun itu telah dibawa ke IPD Klang Utara untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati dua suspek memiliki rekod lampau bersabit kes dadah. Selain itu, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif dadah.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berlainan, seorang lelaki berusia 25 tahun turut diberkas polis menerusi Ops Tapis di tepi jalan Klang Sentral, di sini, kira-kira 12.05 tengah malam, semalam.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, polis menemui satu kotak rokok yang berisi dua paket plastik lut sinar disyaki dadah syabu seberat kira-kira 5.20 gram.

"Suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.