X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita bimbang merempat dapat perhatian ADUN

Mohamad Taufek melihat keadaan anak sulung Nurul Ashafiqah yang terlantar sakit.
A
A

SEREMBAN – Buntu memikirkan tunggakan sewa rumah yang mencecah RM2,450 menyebabkan seorang wanita terpaksa memohon simpati orang ramai dan bantuan seorang aktivis masyarakat melalui Facebooknya.

Nurul Ashafiqah Azlan, 23, yang bimbang dia dan suami Adzhar Andi, 36, serta dua anak mereka diminta keluar dari kediaman mereka di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi selepas menerima notis tuntutan tunggakan daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Lebih menyedihkan, seorang anaknya terlantar akibat penyakit sawan saraf manakala seorang lagi orang kurang upaya (OKU) autisme.

Nurul Ashafiqah berkata, beliau tidak mampu membayar tunggakan sewa rumah kerana pendapatannya berniaga kecil-kecilan dari rumah tidak mencukupi.

“Saya bimbang diarahkan keluar selepas menerima notis, di mana pula kami nak tinggal dengan keadaan anak yang sakit," katanya yang bersyukur selepas masalahnya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani yang mengunjunginya bersama Penasihat Agama Menteri Besar Negeri Sembilan, Jaafar Muhammad.

Wanita itu juga tidak menyangka masalah yang diluahkan di Facebook itu tular di media sosial.

Mohamad Taufek (dua dari kanan) melawat Nurul Ashafiqah (dua dari kanan) di rumahnya.
Mohamad Taufek (dua dari kanan) melawat Nurul Ashafiqah (dua dari kanan) di rumahnya.

Sementara itu, Mohamad Taufek berkata, pihaknya akan berbincang dengan MBS berkenaan tunggakan sewa terbabit manakala notis yang dikeluarkan ialah prosedur biasa pihak berkuasa tempatan.

“Mereka bimbang akan diarahkan keluar kerana memikirkan keadaan anak yang tidak sihat sehingga terpaksa meminta bantuan orang ramai," katanya ketika ditemui selepas melawat Nurul Ashafiqah di rumahnya hari ini.

Beliau berkata, sepanjang 15 tahun kediaman itu dibina belum ada golongan yang tidak mampu diminta keluar dari rumah berkenaan kerana kerajaan sentiasa membantu.

Menurutnya, terdapat 400 buah rumah di kawasan itu dan sebanyak 350 buah mempunyai penghuni dengan kadar sewa RM150 sebulan.

Jelas beliau, tujuan asal pembinaan rumah berkenaan untuk membantu keluarga kurang berkemampuan.

Hantaran Nurul Ashafiqah di Facebooknya mohon simpati ramai
Hantaran Nurul Ashafiqah di Facebooknya mohon simpati ramai

“Untuk rekod sebanyak RM1.3 juta nilai tunggakan sewa yang terpaksa ditanggung MBS sehingga kini dan hanya 25 peratus sahaja yang membuat bayaran secara tetap setiap bulan.

"Kita tidak pernah mengambil tindakan tetapi saya mohon mereka yang mampu boleh menjelaskan bayaran supaya dapat membantu yang lain,” katanya.

Berkenaan dengan keadaan Nurul Ashafiqah pula, Mohamad Taufek berkata, pihaknya akan membantu mempromosi perniagaan kecil-kecilan yang dilakukannya dan menawarkan bantuan peralatan perniagaan.

“Kita lihat kes demi kes. Macam dia ini, anaknya sakit dan perlu ke hospital dua kali seminggu. Suami pula dulu pernah bekerja, tapi kerana selalu ambil cuti akhirnya majikan minta berhenti.

“Jadi antara inisiatif lain yang kita akan ambil ialah menubuhkan tabung kebajikan DUN Paroi untuk membantu mereka yang menghadapi masalah dan keperluan mendesak,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus