Tasik Taman Tasik Manjalara siap dinaik taraf Oktober ini

Tasik di Taman Tasik Manjalara yang ditutup kepada orang awam untuk kerja naik taraf.
Tasik di Taman Tasik Manjalara yang ditutup kepada orang awam untuk kerja naik taraf.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek naik taraf tembok penahan tasik di Taman Tasik Manjalara di sini yang sepatutnya berakhir Julai ini dilanjutkan ke Oktober selepas terhenti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, beliau dimaklumkan projek di bawah peruntukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu sudah dilaksanakan baru-baru ini namun prosesnya masih perlahan.

Menurutnya, keadaan itu memberikan ketidakselesaan kepada pengguna apabila fasiliti di taman riadah itu tidak dapat digunakan sepenuhnya.

"Harap kontraktor dapat mempercepatkan projek pengukuhan tembok penahan dan pembaikan air pancut tasik yang tidak berfungsi itu. Pada masa sama DBKL diharap dapat pantau projek itu supaya tidak ada penangguhan lagi.

"Tasik ini popular kepada orang awam untuk beriadah dan apabila projek dilaksanakan terlalu lama menimbulkan perasaan kurang senang pengguna," katanya selepas meninjau kerja naik dataran di Taman Tasik Manjalara di sini hari ini.

Hannah (dua dari kanan) bersama wakil persatuan penduduk sekitar Taman Tasik Manjalara meninjau kerja naik taraf dataran baru-baru ini.
Hannah (dua dari kanan) bersama wakil persatuan penduduk sekitar Taman Tasik Manjalara meninjau kerja naik taraf dataran baru-baru ini.

Terdahulu, sejumlah RM150,000 di bawah peruntukan ahli Parlimen digunakan untuk kerja naik taraf dataran dan penggantian alat sukan hujung tahun lalu dan berjaya disiapkan baru-baru ini.

Hannah berharap supaya aspek keselamatan di kawasan itu dipertingkatkan susulan menjadi tumpuan jenayah samun dan rompak.

Artikel Berkaitan:

"Baru-baru ini tular satu video kejadian seorang pengguna hampir menjadi mangsa ragut di luar kawasan tasik ini.

"Saya harap pihak polis dapat meningkatkan rondaan terutama pada waktu pagi dan petang yang menjadi tumpuan awam datang untuk bersukan," katanya.

Katanya, surat permohonan berhubung perkara itu sudah dibuat dan berharap dipertimbangkan polis.