Pegawai polis wanita parah kemalangan

No Image Caption
A
A
A

PUNCAK ALAM - Seorang pegawai polis parah selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Puncak Alam di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kejadian kira-kira jam 7.27 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dari arah Shah Alam menghala ke Puncak Alam telah hilang kawalan.

Menurutnya, kenderaan terbabit kemudiannya masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta jenis Honda City yang dipandu pegawai polis wanita berusia 39 tahun.

"Akibat perlanggaran tersebut, pemandu lelaki telah tersepit dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Pegawai polis wanita pula dilaporkan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laporan awal mengesahkan pegawai polis wanita yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh mengalami kecederaan parah di kepala, pinggang dan kaki.

Katanya, siasatan berhubung punca kejadian masih dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: