Tahanan reman kes amang seksual parah

Mohd Nor Yhazid Idris
Mohd Nor Yhazid Idris
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang guru yang sedang menjalani tahanan reman berhubung dakwaan kes amang seksual fizikal dan seks luar tabii dipercayai cuba membunuh diri di dalam lokap awal pagi tadi.

Guru mata pelajaran sains di sebuah sekolah menengah agama itu didakwa melakukan aktiviti tersebut terhadap seorang pelajar berusia 13 tahun.

Sumber yang diperolehi berkata, suspek berusia 40 tahun yang juga warden asrama di sekolah terbabit ditemui dalam keadaan lemah oleh anggota bertugas di dalam lokap dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka.

Kata sumber itu lagi, suspek kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat mengalami patah pinggang, namun keadaannya dilaporkan stabil.

"Suspek dipercayai dengan sengaja telah memanjat jeriji lokap tersebut yang berketinggian kira-kira 3.6 meter bagi tujuan mencederakan dirinya.

"Kejadian disedari oleh anggota yang bertugas di lokap Alor Gajah dan suspek dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut.

Sinar Harian semalam melaporkan, guru berkenaan ditahan reman tujuh hari bermula semalam sehingga 26 Januari ini.

Artikel Berkaitan:

Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Melaka, Dorismah Mohd Idris, sejurus suspek berusia 40 tahun itu dibawa ke mahkamah sekitar jam 10 pagi semalam.

Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan.