X

Kindly register in order to view this article
!

PRK DUN Chini: Calon Bebas fokus isu masyarakat, alam sekitar

Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli. Foto: Bernama
A
A

PEKAN - Isu alam sekitar dan masyarakat setempat menjadi antara fokus utama dua calon Bebas dalam kempen mereka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang bermula hari ini.

Kedua-dua calon Bebas itu, aktivis masyarakat Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, dan ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, berharap dua isu berkenaan diberikan perhatian ‘di peringkat atasan’.

Bagi Mohd Shukri, beliau mahu mengetengahkan masalah kemiskinan, pencemaran dan lambakan pendatang asing di Chini dalam kempennya pada PRK ini.

“Isu sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu sebab saya sememangnya memperjuangkan isu-isu kemasyarakatan dan alam sekitar, bukan sahaja di kawasan Chini malah di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga seorang penulis blog menyifatkan keputusannya untuk bertanding dibuat pada saat-saat akhir selepas mengambil kira maklum balas penduduk DUN Chini.

“Kami ambil masa berbincang sampai jam 4 pagi tadi sebelum mengambil keputusan bertanding...tapi saya telahpun buat persiapan sebelum ini," katanya.

Mohd Shukri yang menggunakan simbol kunci dan membawa slogan 'Bebas Beri Mandat, Rakyat Dapat Nikmat' tiba di pekarangan IKBN Pekan pada jam 8.35 pagi ditemani Sahilawati Hassan, 39, sebagai penyokong manakala pencadangnya ialah Noor Azhar Mohd Sharudi, 46.

Sementara itu, Tengku Zainul Hisham berkata, beliau menggunakan kempen PRK kali ini bagi mendapat input mengenai masalah yang melanda masyarakat di kawasan Chini bagi membolehkan beliau membantu menyelesaikan masalah mereka.

Pesara polis yang menggunakan simbol rumah dan membawa slogan 'Menjadi Suara Rakyat Chini' itu berkata, beliau akan turun membuat tinjauan dan lawatan dari rumah ke rumah sebagai kaedah kempennya bagi mendapatkan input itu.

"Saya tidak mempunyai sebarang isu yang spesifik untuk diketengahkan tetapi saya akan membawa segala rintihan dan masalah masyarakat Chini kepada pihak atasan bagi diselesaikan," katanya.

Tengku Zainul Hisham tiba di IKBN Pekan pada jam 8.36 pagi bersama Muhammad Ibrahim, 65, dan Hussain Mat Isa, 63, yang masing-masing bertindak sebagai penyokong dan pencadangnya.

PRK DUN Chini pada 4 Julai ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Tengku Zainul Hisham, Mohd Shukri dan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, bagi merebut kekosongan kerusi DUN Chini yang ditinggalkan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Abu Bakar, 60, meninggal dunia pada 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon Pas Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!