X

Kindly register in order to view this article
!

Bacaan meter terkeluar dari blok tarif asal punca bil elektrik tinggi

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Bil elektrik melambung semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan bacaan meter telah terkeluar dari blok tarif asal akibat penggunaan elektrik yang tinggi semasa tempoh tersebut.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, punca kenaikan itu diperoleh selepas kajian dibuat oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

"Kajian yang dibuat oleh ST mendapati sebahagian besar pengguna elektrik yang terkesan semasa PKP ialah pengguna dalam blok tarif 301-600kWj dengan kadar tarif 51.6 sen/kWj.

"Kumpulan ini telah terkeluar dari blok tarif tersebut disebabkan oleh penggunaan elektrik yang lebih tinggi semasa PKP.

"Mereka telah memasuki blok tarif seterusnya dengan kadar 54.60 sen/kWj yang menyebabkan bil elektrik melonjak naik sekaligus mengalami pengurangan diskaun daripada 15 peratus kepada 2 peratus," katanya pada sidang akhbar khas di Suruhanjaya Tenaga di sini hari ini.

Menurutnya, bagi membantu pengguna yang termasuk dalam kategori tersebut, kerajaan telah memperkenalkan diskaun tambahan kepada pengguna elektrik dalam blok tarif 691-900kWj dengan bil elektrik di antara RM232.35 sehingga RM395.60.

"Mereka akan menikmati diskaun tambahan lapan peratus menjadikan 10 peratus sebulan bagi bil elektrik bulan April sehingga September berbanding hanya dua peratus yang dinikmati sejak April 2020.

"Jumlah pengguna yang terlibat ialah seramai 916,000 orang atau 12 peratus daripada keseluruhan pengguna domestik," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan tiada aktiviti pemotongan elektrik dilakukan ke atas pengguna yang gagal membuat bayaran bil sehingga 30 September ini.

Shamsul Anuar berkata, langkah itu diambil kerana prihatin dengan kesukaran yang dihadapi rakyat susulan pelaksanaan PKP akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"TNB bersetuju untuk menghentikan aktiviti pemotongan elektrik sehingga 30 September 2020.

"Justeru, pengguna tidak perlu risau kerana bekalan elektrik tidak akan dipotong sekiranya mereka menghadapi kesukaran dalam memenuhi komitmen kewangan mereka," katanya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!