Barcelona tak mungkin jadi juara La Liga

PIQUE
PIQUE
A
A
A

TONGGAK pertahanan Barcelona, Gerard Pique mengakui sukar untuk kelab gergasi Sepanyol itu mengekalkan kejuaraan La Liga musim ini selepas seri 0-0 sama dengan Sevilla, awal pagi tadi.

Menurutnya, keputusan seri itu memberikan peluang kepada Real Madrid memintas kedudukan mereka selaku pendahulu liga, Isnin ini.

"Melihat kepada perjalanan saingan liga yang sudah berlangsung, menjadi amat sukar untuk kami memenangi kejuaraan liga musim ini.

"Keputusan seri hari ini menyebabkan kami berada dalam posisi sukar dan saya tidak melihat Real akan menghadapi masalah mengutip mata dalam baki sembilan perlawanan terakhir ini," katanya.

Real mengekori rapat Barcelona dan berpeluang memintas kelab Catalan itu jika berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Real Sociedad Isnin ini.

Mengulas lanjut, Pique mengakui Barcelona seharusnya boleh mencatatkan kemenangan ke atas Sevilla namun seolah-olah buntu untuk memecah kebuntuan gol.

"Ia adalah perlawanan yang sangat kompetitif dan kami tidak bermain buruk kerana kami mempunyai lebih banyak peluang daripada mereka.

"Tetapi mereka berada di tangga ketiga liga, mereka adalah pasukan teratas jadi kami tidak perlu terkejut kerana perlawanan ini memang sukar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengendali Barcelona, Quique Setien masih optimis dengan peluang dimiliki pasukan kendaliannya itu selain yakin Real juga akan tercicir mata.

"Saya rasa apa yang diperkatakan Pique itu kerana dia kecewa. Saya yakin dia akan berfikir dengan lebih rasional esok. Saya juga yakin Real tidak akan menang semua perlawanan," katanya.