Jabatan Mufti Kelantan galak solat sunat gerhana matahari

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat di negeri ini digalakkan untuk menunaikan solat sunat gerhana matahari ataupun solat sunat Kusuf sempena gerhana matahari separa esok.

Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad dalam satu kenyataan berkata, fenomena tersebut boleh dilihat bermula jam 2.39 petang hingga jam 5.03 petang.

Menurut kenyataan itu, gerhana esok adalah kali terakhir dapat dilihat sebelum menunggu tiga tahun lagi iaitu pada 20 April 2023 untuk melihat lintasan bayang-bayang bulan merentasi tanah air.

“Sempena fenomena ini, orang ramai boleh melaksanakan solat sunat gerhana matahari bermula bermula jam 3.37 petang esok,” katanya hari ini.

Fasa gerhana selama 2 jam 24 minit itu akan bermula pada jam 2.39 petang, maksimum gerhana separa pula jam 3.57 petang dan gerhana berakhir pada jam 5.03 petang.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk sama-sama mengambil iktibar mengenai kejadian alam yang diciptakan ALLAH SWT bagi sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Pencipta.

“Banyakkan berdoa untuk mendekatkan diri dan meminta keampunan daripada ALLAH SWT di samping menjadi seorang khalifah terbaik di bumi ALLAH SWT,” katanya.

Katanya, satu program cerapan akan turut diadakan esok di dataran parkir bersebelahan Jabatan Pendakwaan Syarie, Kompleks Islam Darul Naim dekat Lundang.

Artikel Berkaitan: