Pelabuhan Pulau Pinang berpotensi jadi hab pendaratan tuna

Ronald (lima dari kiri) diberi penerangan tentang jenis ikan tuna di Institut Penyelidikan Perikanan, Batu Maung semalam.
Ronald (lima dari kiri) diberi penerangan tentang jenis ikan tuna di Institut Penyelidikan Perikanan, Batu Maung semalam.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Pulau Pinang dilihat berpotensi besar sebagai hab pendaratan ikan tuna kerana mempunyai pelbagai kemudahan untuk pendaratan selain lokasi strategik bagi tujuan operasi eksport hasil laut itu.

Dua pelabuhan di Malaysia disenaraikan sebagai pelabuhan pendaratan tuna oleh vesel yang beroperasi di Lautan Hindi iaitu Dermaga Ayer Dalam (Pelabuhan Pulau Pinang) dan Pelabuhan Langkawi.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Jabatan Perikanan Malaysia komited memajukan industri tuna di Pulau Pinang yang boleh dibangunkan sebagai sumber kekayaan baharu.

Menurutnya, sejak tahun lalu, 17 buah vesel penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel carrier telah dilesenkan dan beroperasi di Lautan Hindi.

“Pada tahun ini, kita kekal dengan jumlah vesel yang sama dan hasil tangkapan dicatatkan 2.76 tan metrik (data awalan) dengan nilai anggaran RM35 juta.

"Daripada jumlah tersebut, pendaratan tuna di Pelabuhan Pulau Pinang mencatatkan 1.56 juta tan metrik dengan nilai anggaran RM25 juta,” katanya pada sidang akhbar di Institut Penyelidikan Perikanan, Batu Maung di sini semalam.

Katanya, Malaysia perlu terus berdaya saing untuk menarik pemain industri ikan tuna bagi mendaratkan ikan tersebut sebelum dieksport ke negara lain.

“Jadi yuran pendaratan tuna perlu lebih murah dari Phuket, Thailand selain kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pelabuhan penting di rantau ini.

Artikel Berkaitan:

“Kapal-kapal itu boleh mendarat di mana-mana negara Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC) tetapi jika mendarat di sini, maka cukai yang dikumpulkan akan memanfaatkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, aktiviti eksport tuna mencatatkan penurunan sebanyak 30 peratus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana penularan wabak Covid-19.

“Masalah utama adalah logistik dan pengedaran ketika PKP dilaksanakan. Sebelum ini terdapat laporan mengenai beberapa masalah tetapi baru-baru ini permintaan semakin meningkat.

“Pemain industri mengatakan bahawa keadaan itu telah kembali normal,” katanya.