Baykah Alomour, bukti warisan Palestin

Lazimnya, baykah dibina daripada batu pasir dan tanah liat serta mempunyai struktur seni bina yang sangat unggul. - Foto Agensi
Lazimnya, baykah dibina daripada batu pasir dan tanah liat serta mempunyai struktur seni bina yang sangat unggul. - Foto Agensi
A
A
A

GAZA CITY - Baykah Alomour di selatan Genting Gaza berdiri gah sebagai salah sebuah rumah bersejarah terakhir di wilayah Palestin.

"Baykah ini menghubungkan kami dengan masa lalu. Ia merupakan peringatan berterusan harapan kami untuk kembali ke tanah air kami," kata pemiliknya, Qasem Aimera kepada agensi berita Anadolu Agency.

Terletak di bandar al-Fukhari di Khan Younis, Baykah Alomour dibina oleh datuk Qasem, Aimera Alomour pada 1949, setahun selepas peristiwa Nakba.

Nakba atau Penghijrahan Palestin 1948 adalah istilah yang digunakan oleh penduduk Palestin untuk merujuk kepada pengusiran ratusan ribu rakyat itu dari kediaman mereka oleh kumpulan Zionis bagi memberi laluan kepada negara Israel yang baharu.

Sebuah sudut di dalam baykah diubah menjadi muzium yang mempamerkan barang-barang milik datuk Qasem Aimera. - Foto Agensi
Sebuah sudut di dalam baykah diubah menjadi muzium yang mempamerkan barang-barang milik datuk Qasem Aimera. - Foto Agensi

Aimera Alomour menggunakan sebahagian baykah untuk perumahan manakala bangunan selebihnya digunakan untuk menyimpan tanaman terutamanya gandum, kekacang dan bijirin.

Pada awalnya, baykah meliputi kawasan seluas 300 meter padu tetapi ia berkurang menjadi 72 meter selepas musnah terkena peluru berpandu Israel semasa serangan tentera Zionis di Genting Gaza pada 2014.

"Kami kehilangan lebih dua pertiga tanah akibat pengeboman dan kekejaman Israel," kata Qasem.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun lalu, Qasem berganding bahu bersama adik-beradiknya untuk memulihkan baykah dan mengubahnya menjadi ruang menerima tetamu dan pengunjung lain.

"Kami bertekad untuk memulihkannya menggunakan wang sendiri walaupun keadaan ekonomi semakin merosot. Ini adalah harta bagi kami," tambahnya.

Muzium

Dalam pada itu, Qasem turut mengubah sudut di dalam baykah menjadi muzium yang mempamerkan barang-barang milik datuknya.

Antara barangan yang dipamerkan ialah pengisar kopi kayu ukiran tradisional berusia 100 tahun yang terdiri daripada asas dan alu.

Selain itu, jiran juga membawa barang warisan mereka untuk dipamerkan di baykah.

Lazimnya, baykah dibina daripada batu pasir dan tanah liat serta mempunyai struktur seni bina yang sangat unggul.

Silingnya disokong oleh lengkungan batu, sejumlah tingkap, pintu kayu dan kabinet kecil yang dibina jauh ke dalam dinding.

Menurut Qasem, semua rakyat Palestin pernah membina baykah sebelum Nakba untuk pelbagai tujuan.

Katanya, ketika kebanyakan penduduk Palestin menggunakan baykah sebagai rumah, orang Badwi seperti keluarganya menggunakannya untuk simpanan.

Memelihara sejarah

Mendengarkan kisah daripada datuknya mengenai kehidupan Palestin sebelum Nakba, Alaa Saleh, 23, seorang pelarian dari bandar Qbeba di tengah Palestin didorong rasa ingin tahu untuk menerokai baykah.

Datuknya mengalami sendiri Nakba ketika masih muda dan bertekad untuk menyampaikan semua kenangannya tentang Qbeba kepada cucu-cucunya.

"Rasanya seperti menyelusuri salah satu kisah datuk saya. Saya mengingat kembali kisah nenek moyang kita yang tinggal di kampung Palestin yang dijajah.

"Saya akan bawa anak-anak saya melawat baykah pada masa akan datang," katanya.

Qasem Aimera berganding bahu bersama adik-beradinya untuk memulihkan baykah. - Foto Agensi
Qasem Aimera berganding bahu bersama adik-beradinya untuk memulihkan baykah. - Foto Agensi

Sementara itu, ketua jabatan sejarah dan arkeologi di Islamic University di Gaza, Ghassan Weshah menggariskan betapa pentingnya untuk mengingatkan generasi masa depan rakyat Palestin mengenai asal usul mereka.

Menurutnya, baykah bukti kewujudan Palestin sebelum penjajahan Israel.

"Cara terbaik untuk menyelamatkan sejarah ialah dengan mengekalkan monumen warisan kita sebaik mungkin kerana melihat lebih baik daripada mendengar atau membaca buku," katanya. - Agensi