Kes lucut hak dana 1MDB: Berita baik buat UMNO, bukti tidak terlibat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan menangguhkan keputusan melucut hak aset sebanyak hampir RM194 juta milik UMNO, Wanita MCA serta beberapa pihak lain dianggap sebagai berita gembira khususnya buat parti politik orang Melayu itu.

Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu semalam membuktikan bahawa wang yang dibekukan adalah hak milik UMNO dan tidak terbabit dengan sebarang aktiviti pengubahan wang haram.

Beliau berkata, semua pihak juga perlu menerima dan percaya kepada keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi itu adalah benar.

“Sesiapa sahaja boleh membuat tuduhan tetapi kalau tidak percaya kepada institusi mahkamah, mana lagi hendak percaya?

“Saya menyeru kepada mana-mana pembangkang bahawa ini mahkamah yang sama semasa pemerintahan PH (Pakatan Harapan), jadi tidak mungkin hakim membuat keputusan memihak kepada perkara yang tidak betul.

“Setelah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan pendakwa raya membuat siasatan/pemeriksaan, hakim pula meneliti dan mendapati tiada bukti jelas untuk mengaitkan wang UMNO dengan wang haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mohd Razlan berkata, dalam pertuduhan jenayah, bukti yang diberikan perlu 100 peratus benar baru boleh disabitkan kesalahan tetapi jika terdapat satu atau dua keraguan, mahkamah tidak akan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan untuk menangguhkan keputusan melucut hak aset sebanyak hampir RM194 juta milik UMNO, Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd selepas mendengar hujahan daripada semua pihak yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata lagi, usaha pasukan pendakwaan mahu menangguhkan keputusan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya ditolak kerana mereka gagal membuktikan wang yang cuba dibekukan itu diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk terus membekukan wang itu jika tiada bukti yang mendakwa dana itu hasil penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah keputusan mahkamah bakal memberi isyarat positif dalam kes dikaitkan dengan Najib, Mohd Razlan berkata, beliau percaya Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu berkemungkinan boleh dibebaskan daripada tuduhan sekiranya mahkamah mengikut prosedur yang serupa.

“Dalam kes Najib, banyak melibatkan aspek teknikal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika dihubungi menganggap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes tersebut sebagai satu kejayaan kepada hak UMNO yang dinafikan.

Beliau berkata, sepatutnya berita itu didengar lebih awal dan bukan selepas hampir tiga tahun kerana tuduhan yang dilemparkan adalah penghinaan serta penindasan kepada parti UMNO.

“Ini pendakwaan politik yang dibuat kerajaan PH yang bagi mereka jika UMNO dinafikan hak dari segi wang, maka UMNO akan mati dan terkubur.

“Ternyata dalam tempoh 22 bulan UMNO sebagai pembangkang, walaupun berjuang dalam keadaan serba kekurangan serta tiada dana, semangat dan pengorbanan ahli-ahli parti di semua peringkat benar-benar terserlah,” katanya.

Katanya, walaupun difitnah dan dituduh dengan pelbagai cara serta dinafikan hak, akhirnya keputusan memihak kepada UMNO dan wang dibekukan langsung tiada kena-mengena dengan 1MDB.