X

Kindly register in order to view this article
!

Bahasa kita sudah tepu agaknya

A
A

ORANG kita ini suka sangat menggunakan perkataan pinjam. Seakan-akan sudah menjadi kebiasaan pula untuk meminjam bahasa orang lain. Seolah-olah kita ini miskin perkataan dalam bahasa kebangsaan kita.

Ataupun mungkin ada setengah-setengah orang kata, kalau guna bahasa kebangsaan seakan-seakan menjadi pelik pula. Sebutannya menjadi janggal.

Contohnya perkataan viral, sudah menjadi sinonim dengan kita untuk menyebutnya. Apabila diperkenalkan perkataan tular, pada mulanya terasa pelik dan kelakar juga. Cuma apabila sudah menjadi kebiasaan menggunakannya maka, tidaklah terasa peliknya.

Ada orang bijak pandai kata, untuk menjadikan bahasa kebangsaan berkembang, kita hendaklah meminjam bahasa orang lain juga. Contohnya Indonesia, bahasanya berkembang pesat kerana meminjam bahasa lain.

Tetapi sebenarnya bergantung kepada penggunaan juga. Kalau rakyat jelata semua menggunakannya maka lama-lama menjadi berkembanglah juga bahasa itu. Termasuk bahasa kita.

Mungkin juga ada orang-orang kita malu menggunakannya. Lebih-lebih lagi orang-orang dalam kalangan kayangan ini. Mereka merasakan mungkin tidak ada setaraf untuk menggunakannya. Maka bercakap dengan diselang-seli bahasa Inggeris terasa lebih moden dan anggun.

Bahasa itu budaya bangsa kata orang-orang bijak pandai. Ia melambangkan identiti kita. Kalau kita sendiri malu untuk menggunakannya maka ia akan tepu. Rata-rata kalau ada pameran atau atur acara, kebiasaannya bahasa Inggeris akan menjadi pilihan.

Selain sedap menyebutnya, ada gaya unggul dan terkini. Maka jiwa rasa berterbangan di awang-awang ketika menyebut dengan pelat-pelatnya sekali.

Saya terfikir juga kadangkala kenapa apabila pergi keluar negara seperti Jepun dan Jerman, amat susah kita hendak berkomunikasi dengan mereka. Kadangkala mereka tidak melayan kita kalau berbual dalam bahasa Inggeris.

Begitu juga kalau ke Turki. Mereka hanya akan melayan kita kadangkala hanya dengan berbahasa Turki atau bahasa Arab sahaja. Contohnya saya mempunyai anak yang bersekolah di Turki. Saya ada meminta nombor telefon cikgu untuk bertanya khabar berita.

Apabila saya menghantar mesej untuk bertanya tentang keadaan persekolahan anak, memang tidak berjawablah nampaknya. Hanya ada tanda biru sahaja memberitahu mesej sudah dibaca.

Akhirnya saya memuat turun aplikasi terjemahan untuk berkomunikasi dalam bahasa Turki. Barulah terjawab pertanyaan saya. Dan yang lebih menakjubkan, mereka berkata,

“Masya-ALLAH, bahasa Turki anda sangat bagus.”

Maksud

Sebenarnya saya menulis tentang perkara ini bukan apa cuma terfikir sahaja kenapa susah sangat kita hendak menggunakan bahasa kebangsaan. Ia membuatkan saya terfikir ketika membaca Sinar Harian tentang pelancaran MYHaus yang saya jangkakan pada mulanya produk air bersoda terbaharu.

Haus ini dalam bahasa Jerman bermaksud rumah. Sebenarnya saya ada juga belajar bahasa Jerman selama tiga semester. Bahasa Jerman ini agak mudah juga sebenarnya. Cuma yang susah dan perlu kita hafal kerana ia mempunyai jantina. Sehinggakan meja pun ada jantinanya sendiri. Ada betina, ada jantan dan ada juga pondan.

Jadi itu yang membuatkan saya berfikir, tidak bolehkah kita tukar MYHaus ini kepada MYPondok, MYTeratak, MYKediaman atau MYPanti? Kalau dilihat dalam kamus dewan banyak juga perkataan sinonimnya.

Tidak tahulah, kalau-kalau tidak nampak eksklusif atau gah di mata bila menggunakan bahasa sendiri. Kalau begitu alasannya, maka tidak berkembanglah bahasa kita nanti. Kalau mengikut kamus dewan lagi, haus ini ada dua makna. Yang pertama maksudnya dahaga, kering tekak yang melibatkan tekak kita. Dan yang kedua pula maksudnya berkurang tebal atau besarnya.

Seperti peribahasa Melayu lama ada juga menyebut tentang haus ini, contohnya perut kenyang lapar tak hilang, minum sejuk haus tak lepas. Dan satu lagi maksud haus yang memberi maksud agak lain daripada maksud sebenarnya ialah, sumur di tepi jalan, siapa haus boleh minum.

Mungkin jika diteliti dari mata hati, tiadalah sama akan maksudnya haus ini ialah rumah menurut bahasa kebangsaan kita. Cuma, eloklah ditulis sahaja ‘Mein Haus’. Lagipun orang Jerman ramai di negara kita ini.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan yang bersopan santun dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!